Usaha sendiri Libya diperlukan tamat konflik

ANKARA, 20 JAN – Kesatuan Eropah (EU) pada Ahad menegaskan konflik di Libya hanya boleh berakhir menerusi proses politik yang diterajui dan diusahakan oleh negara itu sendiri, lapor agensi berita Anadolu.

“EU sekali lagi menegaskan bahawa satu-satunya penyelesaian mampan untuk krisis di Libya adalah menerusi usaha pengantara yang dipimpin PBB yang meletakkan keperluan rakyat negara itu sebagai keutamaan. Hanya proses politik yang diterajui dan diusahakan sendiri oleh Libya dapat menamatkan konflik dan membawa keamanan yang berkekalan,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan ketua dasar luar negeri EU Josep Borrell dalam satu kenyataan bersama pada sidang kemuncak proses damai Libya di Jerman.

Persidangan yang berlangsung di Berlin kelmarin itu “menghimpunkan rakan serantau dan antarabangsa yang paling berpengaruh ketika krisis Libya melalui saat-saat kritikal.”

Peserta sidang kemuncak turut mengulangi komitmen untuk mengelak mengambil sebarang langkah yang boleh membahayakan gencatan senjata.

Kenyataan itu turut menyatakan sokongan terhadap “perpaduan, kedaulatan dan integriti wilayah Libya, demi kepentingan kestabilan dan kemakmuran wilayah.” – Bernama