Usaha tangani kesesakan TD123 dilaksanakan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Bermula 13 April lalu, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) telah mula menggunakan perkhidmatan Talian Darussalam 123 (TD123) bagi permohonan membaharui lesen memandu dan membaharui lesen kenderaan sebagai inisiatif bagi mengurangkan kesesakan pengunjung ke kaunter-kaunter JPD.

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataannya, hari ini, menyatakan bahawa terdapat kekurangan khususnya dari segi kelewatan dan kesulitan dalam menerima dan mengendalikan permohonan dan pertanyaan melalui talian hotline, e-mel dan WhatsApp LiveChat TD123.

Perkara berkenaan adalah disebabkan oleh panggilan yang diterima masa ini melebihi dua kali ganda daripada panggilan yang biasa diterima.

Dalam hal ini, pihak TD123 memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul daripadanya dan merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai di atas kerjasama dan segala maklum balas yang diberikan setakat ini, di mana langkah-langkah bagi menangani isu berkenaan juga sedang dalam perlaksanaan dengan menambah call agent bagi menjawab setiap panggilan.

Kenyataan menyatakan, anggaran tempoh siap bagi permohonan-permohonan melalui TD123 adalah dua hingga tiga hari waktu bekerja bagi mengaktifkan akaun eDarussalam dan lima hari bekerja bagi perkhidmatan membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan.

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataannya turut mengalu-alukan orang ramai supaya membuat permohonan membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan secara online melalui laman sesawang kerajaan www.gov.bn atau melalui aplikasi mudah alih TransportBN.

Sementara itu, bagi mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang www.123.gov.bn atau mengikuti media sosial Instagram, Facebook dan Twitter @TD123.