Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha tarik pelancong China

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    NANNING CHINA, 14 Sept – Negara Brunei Darussalam bersama 11 buah negara lain tidak ketinggalan mempromosikan keindahan dan keistimewaan negara dalam industri pelancongan di Pusat Pavilion City of Charm pada CAEXPO ke-14 di Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa (NICEC) Nanning, China yang berlangsung bermula 12 September lalu sehingga esok.

    Pavilion tersebut yang menampilkan tema ‘Bersama Membina Laluan Maritim Sutera Abad ke-21’ mempromosikan integrasi serantau melalui pelancongan dan disertai 11 buah negara terpilih.

    Ia mengetengahkan tarikan pelancongan negara-negara anggota ASEAN dan China bagi tempat-tempat cantik dan menarik, budaya dan tradisi serta sejarah. Negara Brunei Darussalam pada pavilion tersebut menonjolkan kekayaan budaya, sejarah dan kegiatan kerjasama negara menerusi pameran dan persembahan tradisional, melibatkan para pelajar sekolah menengah seluruh negara.

    Pavilion turut disertai pelbagai agensi pelancongan dan penerbangan negara ini yang bertujuan mempromosikan negara untuk kunjungan para pelancong, terutamanya dari China yang didapati gemar berkunjung ke negara ini kerana keindahan Kampong Ayer, Taman Negara Temburong dan banyak lagi, manakala keramahan dan keindahan serta kebersihan negara juga antara faktor tarikan pelancong dari Tanah Besar China mengunjungi negara ini.

    Beberapa orang pengunjung China yang ditemui di pavilion itu, mengatakan mereka mahu mengetahui lebih dekat mengenai Brunei melalui ekspo tersebut, selain melihat kebudayaan dan tradisi yang dipamerkan pada persembahan semasa ekspo, promosi pelancongan dan juga pameran pengenalan produk pelancongan.

    Persembahan-persembahan dari negara-negara ASEAN yang mengambil bahagian di Pavilion ‘City of Charm’ termasuk Negara Brunei Darussalam.

    Pegawai-pegawai dari Darussalam Holdings yang bertugas di Pavilion ‘City of Charm’.

    Berdasarkan statistik Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan syarikat penerbangan lainnya, lebih 40,000 pelancong dari China sudah pun melawat Brunei pada tahun lepas dan setakat Januari sehingga April tahun ini, lebih 16,000 pelancong China dicatatkan mengunjungi negara ini.

    Penyertaan negara di CAEXPO ini juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan tempatan dan juga pelancongan ke pasaran China dan ASEAN, di mana CAEXPO menjadi pelantar ideal untuk mendedahkan dan mempromosikan barangan dan perkhidmatan tempatan.

    Tahun ini CAEXPO telah menarik penyertaaan sejumlah 2,709 syarikat, meningkat sebanyak 1.5 peratus daripada sebelumnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda