Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha tingkat taraf hidup asnaf

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) melalui Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ), Jabatan Majlis Ugama Islam telah memilih dua orang daripada peserta program berkenaan untuk mengikuti latihan kemahiran di Institut Kemahiran Baitulmal (IKB), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

    Sehubungan itu, majlis Doa Selamat dan penandatanganan dokumen perjanjian antara pihak PROPAZ dan dua orang peserta berkenaan telah diadakan di Dewan Teratai, Tingkat 5, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini.

    Hadir bagi menyaksikan penandatanganan tersebut ialah Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop.

    Kedua-dua peserta berkenaan ialah Awang Muhd Nur Hazwan Syafiee bin Razimi, 21, yang akan mengikuti Kursus Teknologi Binaan Bangunan dan Awang Mohd Zulhilmi bin Ajak, 25, akan mengikuti Kursus Perkhidmatan dan Penyajian Makanan.

    Penghantaran dua orang peserta PROPAZ berkenaan adalah hasil daripada Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOMS) ke-42 bagi Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) pada 25 hingga 28 Oktober 2017 di Yogyakarta, Indonesia yang membincangkan bidang kerjasama antaranya meningkatkan taraf hidup umat Islam yang memerlukan.

    Peserta bergambar ramai dengan tetamu kehormat dan keluarga serta pegawai-pegawai MUIB.

    Susulan daripada kesepakatan tersebut, kerajaan Malaysia melalui IKB, MAIWP telah menawarkan peluang kepada asnaf yang berkelayakan dari Negara Brunei Darussalam untuk mengikuti latihan kemahiran tersebut. Tempoh latihan kemahiran berkenaan adalah selama 12 bulan sepenuh masa bermula jam 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat).

    Latihan kemahiran tersebut akan dibiayai oleh pihak negara penganjur antaranya kos latihan, pengangkutan darat, tempat tinggal, makan minum dan elaun bulanan, manakala itu, perbelanjaan penghantaran, persediaan sebelum berlepas dan mana-mana yang berkaitan bagi kebajikan dan keperluan dua peserta berkenaan telah disediakan dan dibiayai daripada agihan Kumpulan Wang Zakat, Asnaf Fakir dan Miskin.

    Haji Abdul Aziz berkata, peluang ini merupakan yang pertama kali ditawarkan dan beliau berharap para peserta akan dapat menggunakan peluang berkenaan dengan sebaik-baik mungkin mengikuti kursus berkenaan dengan bersungguh-sungguh, mengikuti apa jua peraturan dan mengikuti semua segala disiplin dan tidak terlibat dengan aktiviti yang kurang sihat, kerana para peserta merupakan wakil negara.

    Beliau juga menasihati para peserta mengikuti apa jua arahan lain kerana para peserta akan tinggal di asrama selama kursus berlangsung.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda