Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Darussalam Enterprise (DARe) berusaha untuk meningkatkan kemahiran lebih ramai mentor perniagaan dengan DARe menyasarkan untuk menghoskan lebih 20 aktiviti mentor bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah Brunei Mentors for Entrepreneurs Network (BMEN) menjelang Mac 2023.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DARe, di sini, 17 orang mentor BMEN telah menamatkan latihan mentor selama dua hari yang ditaja oleh DARe dan dikendalikan oleh pengasas Association of Business Mentor, United Kingdom, Kerrie Dorman, baru-baru ini.
Kenyataan menjelaskan bahawa BMEN menawarkan bimbingan sukarela kepada PMKS oleh warga perniagaan, profesional dan pakar isi kandungan yang berpangkalan di Brunei untuk menyediakan bimbingan dan pandangan ke dalam pelbagai bidang perniagaan.
Untuk melengkapkan penggunaan platform atas talian BMEN yang menghubungkan mentee secara langsung dengan mentor, DARe menghoskan sehingga enam jenis aktiviti mentor kumpulan dan individu yang berlainan bagi memupuk lebih banyak penglibatan bimbingan.
Sejak dilancarkan pada Mac 2019, BMEN telah mencatatkan lebih 485 penglibatan bimbingan yang menawarkan kumpulan seramai 78 mentor yang diluluskan oleh DARe dengan 173 mentee yang mendaftar.
Pengurus Projek DARe bagi BMEN, Awang Hariz Khalid berkata bahawa lebih banyak pusingan latihan mentor akan diadakan di mana ia akan meliputi gambaran umum mengenai pementoran, memberikan gambaran bagaimana untuk membimbing berasaskan kepada latar belakang dan pembawaan mentee serta juga latihan bimbingan secara langsung.
Beliau berkata bahawa walaupun mentor-mentor BMEN adalah mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing, latihan khusus mentor menumpukan kepada kemahiran komunikasi dan interpersonal, yang akan membantu menghubungkan jurang dalam keupayaan mentor untuk membimbing mentee dengan kepakaran, pengalaman serta ilmu pengetahuan mereka yang sedia ada.
Awang Hariz menambah bahawa pihaknya akan terus membangunkan komuniti BMEN dengan kerap menghoskan aktiviti untuk meningkatkan kesedaran mengenai nilai bimbingan serta nilai platform itu kepada PMKS.
Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa pada Majlis Penghargaan BMEN secara maya dengan mentor-mentor pada 28 Mac lalu, bagi menandakan tiga tahun penubuhan platform itu, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin berkata, pemindahan ilmu pengetahuan menerusi bimbingan dapat membantu menyumbang kepada ekosistem perniagaan yang lebih produktif dan mantap, iaitu satu keutamaan di bawah Brunei Darussalam Economic Blueprint.
Beliau berkata lagi bahawa pemilik perniagaan kecil memerlukan banyak sokongan supaya dapat berjaya seperti pembiayaan, operasi dan sokongan emosi.
Bimbangan perniagaan, ulasnya, adalah salah satu kaedah paling praktikal di mana mereka dapat membimbing PMKS untuk berani menghadapi cabaran-cabaran yang setentunya akan mereka hadapi dalam perjalanan mereka.
BMEN dilaksanakan oleh DARe dengan kolaborasi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Brunei dan merupakan cabang tempatan bagi ASEAN Mentorship for Entrepreneurs Network.