Usaha tingkatkan transformasi digital ASEAN

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Host Photo

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyatakan impak pandemik global telah menjejaskan aktiviti ekonomi, rantaian bekalan dan mengehadkan pergerakan termasuk di kawasan pertumbuhan sub-serantau ini.

Dalam perlaksanaan langkah-langkah untuk membendung penularan COVID-19, negara-negara ahli BIMP-EAGA juga memberikan tumpuan kepada usaha-usaha pemulihan bagi meningkatkan ekonomi dan kehidupan rakyat, titah Baginda semasa Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-14 yang berlangsung secara maya, hari ini.

Baginda Sultan seterusnya menekankan bahawa adalah penting bagi negara-negara ahli BIMP-EAGA untuk terus komited dan bekerjasama bagi menjadikan BIMP-EAGA lebih berdaya tahan, mampan dan makmur.

Baginda juga bertitah menyatakan bahawa pandemik COVID-19 telah mempercepatkan transformasi digital dan mengubah cara beroperasi dalam norma baharu. Baginda turut menggalakkan pembangunan projek-projek yang berkaitan teknologi infokomunikasi (ICT) yang akan membantu peralihan BIMP-EAGA ke era digital.

Baginda turut menekankan kepentingan bagi memastikan adanya sinergi dengan inisiatif yang dilaksanakan di peringkat serantau termasuk Bandar Seri Begawan Roadmap (BSBR) yang mengetengahkan inisiatif digital bagi meningkatkan usaha transformasi digital ASEAN.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga menyentuh mengenai kepentingan peranan kesalinghubungan dalam kerjasama dan integrasi ekonomi serantau. Baginda seterusnya bertitah mengenai hasil penemuan awal Mid-Term Review (MTR) of the BIMP-EAGA Vision 2025 yang telah menunjukkan bahawa Wawasan BIMP-EAGA 2025 masih relevan dan responsif kepada agenda pembangunan negara-negara ahli.

Pemimpin-pemimpin BIMP-EAGA juga telah mengesahkan Kenyataan Bersama bagi Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-14.

Sidang kemuncak berkenaan dipengerusikan oleh Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Joko Widodo dan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin BIMP-EAGA iaitu Perdana Menteri Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan Presiden Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Rodrigo Roa Duterte serta Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Tuan Yang Terutama Masatsugu Asakawa dan Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa Sidang Kemuncak BIMP-EAGA kali ke-14, kelmarin.