Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Usahawan ambil peluang jana pendapatan tambahan

    PUTRAJAYA – Melihat peluang untuk menjana pendapatan tambahan, kios CheeseU milik Kharul Azman A. Karim telah dibuka bersempena program Berjalan Teguh Bersama, baru-baru ini.

    Kebiasaannya, kios yang terletak di hadapan bangunan Kementerian Kewangan (MOF) itu tidak dibuka pada hari minggu kerana tuntutan kerja Kharul Azman, 31, sebagai pengurus outlet CheeseU di Bangi, Selangor.

    Kharul Azman ketika ditemui Bernama berkata walaupun tidak pernah beroperasi pada hari minggu, beliau menjangkakan dapat meraih pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 menerusi penjualan kek keju, nasi lemak, nasi ayam penyet dan minuman ketika program itu.

    “Sebagai persediaan, saya telah membuat tempahan awal kek keju daripada ibu pejabat CheeseU dan stok akan sampai bila-bila masa sahaja. Untuk set nasi, saya akan sediakan lebih 100 pek,” katanya sambil menambah kios itu akan beroperasi dari 7 pagi hingga 1 tengah hari pada Sabtu ini dengan dibantu seorang pekerja, Fazren Akber.

    Kharul Azman merupakan antara peserta Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota yang dirangka oleh Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan agensi lain berkaitan dengan pembangunan usahawan.

    Program Berjalan Teguh Bersama yang akan bermula dari Dataran Putra hingga Istana Kehakiman, di sini diadakan bersempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dengan dianggarkan lebih 10,000 Keluarga Malaysia akan menyertai aktiviti berjalan kaki tersebut.

    Program berkonsepkan aktiviti berjalan beramai-ramai secara santai bersama keluarga itu membawa mesej semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia adalah satu daripada inisiatif bagi mendokong aspirasi Keluarga Malaysia.

    Sementara itu, peniaga wafel berhadapan bangunan PPj, Nurizyan Najwa Cik Izwan berkata kios Waffle and Sweet Corn miliknya akan beroperasi seawal 6 pagi pada Sabtu.

    “Kebiasaannya pada hari Sabtu kami akan buka kedai dari 12.30 tengah hari hingga 12 tengah malam tetapi kali ini kami akan beroperasi seawal 6 pagi,” katanya yang menjangkakan akan menerima lebih 500 pelanggan pada hari tersebut.

    Sebagai persediaan, beliau akan menyediakan 10 bancuhan tepung wafel berbanding lima bancuhan pada hari biasa dengan setiap satu bancuhan dapat menghasilkan hingga 70 wafel.

    Selain wafel yang merupakan produk terlaris mereka, kios itu turut menjual keropok lekor, minuman dan makanan ringan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...