Thursday, February 6, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usahawan Bakarih ikuti program asas

    Oleh Imelda Groves HA

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Kira-kira 10 orang peserta yang terdiri daripada penerima-penerima bantuan yang telah diluluskan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) untuk diberikan bantuan keusahawanan di bawah Projek Bakarih YSHHB dan sebahagian ahli keluarga mereka telah hadir dalam Program Asas Bakarih YSHHB, hari ini.

    Dianjurkan oleh YSHHB, program keusahawanan berkenaan diisikan dengan beberapa aktiviti antaranya taklimat mengenai bantuan keusahawanan yang berlangsung di Tingkat 4, Dewan Serba Guna, Kompleks Bangunan YSHHB, di sini.

    Ceramah motivasi keusahawanan pagi tadi dikendalikan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar yang antara lain menyentuh mengenai asas keusahawanan dan perbincangan bersama para penerima bantuan.

    Terdahulu sebelum ceramah motivasi keusahawanan, taklimat mengenai Skim Pembiayaan Kebajikan YSHHB telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas YSHHB, Awang Ahmad Rithaudin bin Haji Sabtu yang antara lain memberikan pengenalan dan kefahaman mengenai Program Asas Bakarih YSHHB itu.

    Program Asas Bakarih merupakan program jangka masa panjang yang diungkayahkan oleh YSHHB melalui Unit Pembangunan Keusahawanan YSHHB.

    Pegawai Tugas-tugas Khas YSHHB ketika memberikan pengenalan dan kefahaman mengenai program berkenaan.
    Pegawai Tugas-tugas Khas YSHHB ketika memberikan pengenalan dan kefahaman mengenai program berkenaan.
    Dr. Haji Noralizam ketika menyampaikan ceramah motivasi kepada para peserta yang terpilih.
    Dr. Haji Noralizam ketika menyampaikan ceramah motivasi kepada para peserta yang terpilih.

    Ia merupakan program wajib yang perlu dihadiri oleh para penerima yang telah diluluskan untuk menerima bantuan keusahawanan daripada YSHHB sebelum mereka diserapkan ke dalam Skim Pembiayaan Kebajikan (SPK) YSHHB secara rasmi dan diiktiraf sebagai Usahawan Bakarih YSHHB.

    Antara tujuan program adalah untuk memastikan para penerima bantuan mempunyai disiplin dan komitmen yang baik sebelum mereka ini diserapkan ke dalam SPK YSHHB dan seterusnya menjadikan mereka usahawan yang mempunyai persediaan cukup sebelum menempuh dunia perusahaan atau perniagaan yang lebih mencabar.

    Selain itu, ia juga bertujuan untuk membuka minda dan mata para penerima bantuan akan peluang yang ada di sekeliling mereka yang membolehkan mereka menjana pendapatan daripadanya.

    Antara para peserta program yang menghadiri pengisian aktiviti Program Asas Bakarih YSHHB.
    Antara para peserta program yang menghadiri pengisian aktiviti Program Asas Bakarih YSHHB.

    Program juga dilaksanakan untuk memberikan peluang kepada penerima bantuan berkongsi pengalaman atau maklumat berkaitan dengan perusahaan atau perniagaan yang akan dan sedang mereka jalankan sekali gus untuk mengubah mentaliti para penerima bantuan dan menjadikan mereka golongan yang mandiri, berdaya usaha, berdaya tahan, berdaya saing, prihatin, bertanggungjawab dan saling bantu-membantu.

    Dalam program itu nanti terdapat beberapa aktiviti yang difikirkan bersesuaian antaranya ceramah motivasi, bengkel-bengkel yang berkaitan dengan keusahawanan, perkongsian maklumat dan pengalaman serta sesi perbincangan bersama bakal Usahawan Bakarih YSHHB.

    Sebaik sahaja para peserta selesai mengikuti program ini mereka akan diberikan bantuan modal untuk menjalankan, mengembangkan, memajukan perusahaan atau perniagaan mereka melalui SPK YSHHB.

    YSHHB akan membuat pemantauan terhadap perjalanan dan perkembangan perusahaan atau perniagaan para penerima bantuan bagi memastikan bantuan yang diberikan diguna pakai dengan sebaiknya dan sepatutnya.

    Selain itu, YSHHB melalui skim ini juga nanti dari semasa ke semasa akan memberi motivasi dan bimbingan kepada para penerima bantuan supaya mereka boleh menguruskan perusahaan atau perniagaan dengan lebih baik lagi dan seterusnya menjadikan mereka usahawan yang berdaya usaha, berdaya tahan dan berdaya saing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda