Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Usahawan biskut raya bangkit semula daripada kegagalan

    KUALA LUMPUR –  Hampir ‘tersungkur’ gara-gara terlalu percayakan orang, usahawan Wan Khairul Hakimin Wan Muhammad, 41, berjaya bangkit semula hanya dalam tempoh kira-kira tiga bulan, membuktikan ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.

    Pengeluar produk makanan itu nyaris ‘bungkus’ pada Disember 2021, namun pertemuan tidak diduga dengan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) Datuk Dr Ameer Ali Mydin pada Januari lepas, mengubah nasib syarikat milik Wan Khairul Hakimin, KHM Foodies Sdn Bhd.

    “Sebenarnya perniagaan ini sudah ada kekuatan tersendiri, namun kami mahu juga ambil produk dari luar. Apa yang berlaku ialah kualiti produk tidak sama, dan pada suatu hari, produk biskut yang dibekalkan oleh orang luar ada bubuk.

    “Bukan keluaran syarikat saya tapi mereka guna jenama kami dan kami tolong jual,” ceritanya kepada Bernama ketika ditemui di kilangnya di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, Selangor.

    Kongsinya, kejadian itu berlaku pada Oktober tahun lepas apabila kira-kira 1,000 balang biskut daripada syarikat yang berkenaan dikesan mempunyai bubuk, dan keadaan menjadi tidak terkawal apabila pembeli memuat naik tentang insiden tersebut ke media sosial. 

    “Akibatnya jualan merudum. Jenama kami hancur terus. Daripada jualan bernilai RM300,000 hingga RM500,000 sebulan, hendak dapat RM50,000 pun payah. Memang teruk keadaan pada masa itu apabila jualan tidak ada, ejen lari dan pekerja daripada 61 orang hanya tinggal 16 orang,” cerita usahawan yang berasal dari Mentakab, Pahang tersebut.

    Menurutnya, derita beliau bertambah apabila ditipu dalam urusan pembelian bahan mentah dan barangan, menyebabkan kos operasi perniagaan terjejas selain kekangan membayar gaji pekerja pada Disember lalu.

    Usahawan KHM Foodies Sdn Bhd, Wan Khairul Hakimin Wan Muhammad, 41, berjaya bangkit semula hanya dalam tempoh kira-kira tiga bulan, membuktikan di mana ada kemahuan, di situ ada jalan ketika ditemu bual Bernama, di kilangnya di Bandar Baru Bangi. – Bernama
    Pekerja KHM Foodies Sdn Bhd memastikan penghasilan biskut dilakukan dengan teliti. – Bernama
    Antara biskut keluaran KHM Foodies Sdn Bhd yang siap untuk proses pembungkusan. – Bernama
    Pekerja KHM Foodies Sdn Bhd melakukan proses terakhir iaitu melabel pada balang kuih raya di kilang di Bandar Baru Bangi. – Bernama

    Pertemuan tidak terduga  

    Di sebalik satu demi satu ujian yang datang, Wan Khairul Hakimin enggan mengaku kalah dan berusaha mencari jalan keluar bagi memantapkan semula perniagaan yang dimulakannya pada 2014 itu.

    Pada Januari lepas, bapa kepada seorang cahaya mata itu menghadiri satu program padanan perniagaan yang turut menyaksikan beliau bertemu Pengarah Urusan Mydin berkenaan. 

    “Asalnya Datuk (Ameer) hendak berjumpa orang lain dan kebetulan saya ada semeja ketika itu. Selepas mengetahui syarikat saya mengeluarkan produk biskut, beliau menyuruh saya membawa sampel biskut ke pejabatnya keesokan hari.

    “Saya bawa 13 sampel dan alhamdulillah, selepas merasa sampel biskut  tersebut beliau bersetuju dan memilih lapan jenis biskut.

    “Datuk Ameer minta pihak kami sediakan 60,000 balang untuk dipasarkan di semua pasar raya Mydin,” katanya, menambah biskut jenama ‘Syafinie’ itu mula dipasarkan di 46 cawangan Mydin pada Mac lepas.

    Jelasnya, biskut terbabit yang dijual pada harga mampu milik iaitu RM12.90 sebalang, mendapat sambutan luar biasa, malah menjadi pilihan pelanggan menjelang sambutan Aidilfitri.  

    Menurut Wan Khairul Hakimin, antara biskut keluaran KHM Foodies yang dijual di Mydin ialah biskut cornflakes, oriyo, German cookies, almond london, tart nanas kopiah, biskut nestum chocolate cip dan biskut thumbprint strawberry.

     Kembali gah

    Wan Khairul Hakimin turut menjual biskutnya menerusi ejen serta terus dari kilang menggunakan jenama ‘one cookies’ dan menurutnya, jenis biskut yang dijual oleh ejen tidak sama dengan di pasar raya bagi mengelakkan pertembungan pembelian.

    “Biskut yang dijual menerusi ejen ialah mazola, American choc, peanut butter dan dahlia.

    “Ini bagi menjaga kualiti jualan dan pendapatan untuk ejen yang selama ini setia dan menjual produk biskut kami,” katanya, menambah kini syarikatnya mengeluarkan antara 25,000 dan 30,000 balang sebulan untuk jualan sendiri dan ejen.

    “Ini tidak termasuk yang dipasarkan oleh Mydin,” tambah beliau lagi yang kini tidak menang tangan memenuhi permintaan.

    Mengimbas pembabitannya dalam bidang perniagaan produk makanan itu, Wan Khairul Hakimin berkata beliau sudah terbiasa membantu ibunya yang berniaga nasi lemak dan kuih-muih sejak kecil lagi.

    Namun, beliau yang sebelum itu bekerja di sebuah kilang pengeluar bahagian kenderaan, memulakan perniagaan sendiri pada 2014.  

    “Ketika itu semua urusan perniagaan termasuk membuat biskut, dilakukan di rumah ibu saya di Mentakab dan di rumah adik di Semenyih hinggalah dua tahun lepas saya buka kilang ini.

    “Sebelum itu,  saya juga ada studio dapur di Bandar Seri Putra dan kami mengajar orang buat kuih dan biskut,” ceritanya.

    Menurutnya, beliau memutuskan untuk membuka kilang tersebut bagi pengeluaran besar-besaran selepas melihat prestasi perniagaan yang memberangsangkan selain maklum balas ejen.

    Bantu lepasan SPM, ibu tunggal

    Biarpun perniagaannya kini hanya dikendalikan bersama 16 pekerja, Wan Khairul Hakimin yang mendapat sokongan penuh isteri Nurul Huda Abdul Wahab, 40, bersyukur kerana mempunyai 124 pekerja sambilan, kebanyakannya adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mencari pendapatan sampingan.

    Selain itu, perniagaannya juga dibantu oleh kira-kira 21,000 ejen di seluruh negara yang sebahagian besarnya adalah ibu tunggal.

    Selain biskut, KHM Foodies turut mengeluarkan rendang daging tradisional dan daging dendeng serta produk kopi jalanan ‘Kopi Meta’ yang mempunyai 16 cawangan di seluruh Malaysia. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...