Usahawan digalak daftar sijil halal Jakim

KOTA KINABALU, 20 OGOS – Kerajaan Sabah menggalakkan kira-kira 55,000 usahawan di negeri itu mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membolehkan perusahaan mereka berkembang lebih pesat sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri Azhar Matussin berkata sejumlah 8,120 syarikat mempunyai pensijilan halal Jakim di seluruh negara pada tahun lepas, dan daripada jumlah itu hanya 204 syarikat dari Sabah memiliki sijil berkenaan.

“Sabah akan bekerjasama dengan agensi berkaitan daripada sektor kerajaan dan swasta untuk memastikan syarikat Sabah yang mempunyai pensijilan halal bertambah pada tahun ini seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara (dan negeri),” katanya berucap merasmikan Program Halal Malaysia 2019-Sabah di sini, hari ini. – Bernama