SANDAKAN, 6 Ogos – Masih ramai usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini berada di bawah potensi sebenar untuk berjaya, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Menurut Musa ia disebabkan beberapa faktor yang mengekang perkembangan dan kemajuan usahawan IKS tempatan antaranya kekurangan penggunaan teknologi, mesin serta kelengkapan yang menyebabkan kapasiti pengeluaran tidak dapat ditingkatkan.
Selain itu, katanya faktor kekurangan modal termasuk masalah akses kepada pembiayaan, tidak mempunyai rekod perniagaan yang lengkap, kurang pengalaman, kurang pengetahuan, kelemahan rangkaian perniagaan dan kepakaran berkaitan bidang yang diceburi.
Justeru, Musa mahu usahawan IKS perlu terus memperbaiki dan meningkatkan lagi aspek pengeluaran, tambah nilai, mewujudkan peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan, eksport dan sebagainya.
“Kerajaan negeri dan persekutuan melaksanakan banyak program bantuan untuk usahawan di negara kita. Di peringkat persekutuan, terdapat lebih 17 kementerian dan lebih kurang 80 agensi melaksanakan berbagai program untuk membantu sektor IKS.
“Ia meliputi lima sektor iaitu sektor inovasi dan teknologi, pembiayaan, pemasaran dan promosi, latihan, modal insan dan keusahawanan,” katanya ketika melancarkan Jelajah Satu Daerah Satu Industri peringkat negeri di sini, hari ini. – Bernama