Tuesday, March 21, 2023
21.2 C
Brunei

-

Usahawan kecil idam bina empayar

BAGHDAD – Mesin jahit dan fabrik yang mengelilingi Alaa Adel di studio ‘Iraqcouture’ miliknya di Baghdad adalah bukti kejayaannya di Iraq.

Adel, 33, menganggap dirinya antara sebilangan kecil usahawan wanita di negara yang kebanyakan wanita tidak bekerja di luar rumah.

“Kami mempunyai tradisi sosial yang menghalang ramai wanita daripada bekerja,” kata Adel di studionya di daerah komersial, Karrada di Baghdad.

“Malah bagi mereka yang melakukannya, ia tidak selalunya semudah itu,” tambahnya.

Menurut Pertubuhan Migrasi Antarabangsa dalam laporan pada bulan Oktober, “Adat dan tradisi lazimnya mengehadkan aktiviti wanita kepada peranan domestik dan asuhan sahaja.”

Ghanem semasa seminar di Baghdad, baru-baru ini. – AFP
Adel menunjukkan tempat beliau bekerja di studio ‘Iraqcouture’ miliknya di Baghdad, baru-baru ini. – AFP
Ghanem bercakap dengan para peserta seminar di Baghdad, baru-baru ini. – AFP
Adel memeriksa hasil kerjanya di studio ‘Iraqcouture’ miliknya di Baghdad, baru-baru ini. – AFP
Adel bekerja di studio ‘Iraqcouture’ miliknya di Baghdad, baru-baru ini. – AFP
Adel bekerja di studio ‘Iraqcouture’ miliknya di Baghdad, baru-baru ini. – AFP
Adel semasa di studio ‘Iraqcouture’ miliknya di Baghdad, baru-baru ini. – AFP
Adel bekerja di studio ‘Iraqcouture’ miliknya di Baghdad, baru-baru ini. – AFP

Adel berkata sifat prasangka serta kesukaran tersebut menimbulkan cabaran untuk memenuhi impiannya.

Lulusan Universiti Baghdad yang pakar dalam bidang fesyen dan reka bentuk, Adel ingin mencipta gedung fesyennya sendiri.

“Saya pergi berjumpa dengan penaung organisasi yang menyokong seni dan budaya.

Tetapi idea saya ditolak secara sistematik kerana saya tidak mempunyai pengalaman dalam konsep projek,” katanya.

Terima kasih kepada yayasan Iraq, The Station, dan program ‘Raidat’ (Usahawan Wanita) yang dibiayai oleh kedutaan Perancis di Baghdad, Adel mendapat latihan yang memberinya keyakinan untuk memulakan perniagaannya sendiri.

Halangan

Sektor swasta Iraq masih di peringkat permulaan, merumitkan langkah yang panjang dan membosankan untuk menubuhkan sebuah syarikat.

Negara itu, yang sedang cuba untuk melangkah menjauhi empat dekad peperangan dan pergolakan, juga dibelenggu oleh amalan rasuah, pengangguran yang berleluasa dan kadar kemiskinan sekitar 30 peratus.

Hampir 38 peratus orang yang mempunyai pekerjaan bekerja di sektor awam Iraq, satu daripada kadar tertinggi di dunia, menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Adel akhirnya memperoleh pinjaman daripada bank swasta, dan mencipta jenama ‘Alaa Adel’ pada musim panas lalu.

Pada awalnya, dia terpaksa berhadapan dengan seksisme daripada beberapa pembekal fabrik yang keberatan untuk berurus niaga dengan seorang wanita, katanya.

Kemudian, terdapat kekurangan kemudahan awam untuk penjagaan kanak-kanak di negara yang tradisi mengatakan kanak-kanak harus dijaga di rumah oleh ibu sehingga mereka pergi ke sekolah.

Adel mendapat bantuan daripada ahli keluarga yang menjaga dua anak lelakinya, berusia sembilan dan empat tahun, semasa dia bekerja.

Rumit

“Iraq mempunyai 13 juta wanita dewasa namun hanya sekitar satu juta yang bekerja,” kata penyelaras negara ILO, Maha Kattaa, yang membentangkan laporan pada Julai tahun lalu.

Kadar penyertaan tenaga buruh wanita ‘terutama rendah’ pada 10.6 peratus, menurut laporan ILO, berbanding 68 peratus untuk lelaki.

Sebaliknya, negara jiran, Arab Saudi sehingga beberapa tahun lalu salah satu negara paling ketat di dunia untuk wanita, mempunyai kadar penyertaan tenaga kerja wanita sebanyak 35.6 peratus pada suku kedua 2022.

Kebanyakan wanita bekerja di Iraq adalah guru atau jururawat. Sebilangan kecil adalah anggota polis atau angkatan tentera.

Bagi Shumoos Ghanem, “lelaki menguasai banyak sektor manakala wanita hanya mengisi kekosongan yang ada.”

Wanita berusia 34 tahun itu ialah pemilik perniagaan makanan diet dan pengasas inisiatif Iraqi Women in Business, yang menyediakan bimbingan profesional kepada wanita dalam talian. Dia juga seorang ibu kepada seorang anak lelaki berusia 14 bulan.

Ghanem berkata kebanyakan orang yang dinasihatinya adalah ibu yang telah berhenti kerja dan ‘tertanya-tanya adakah masyarakat akan menerima mereka’ semula sebagai wanita berkerjaya.

Dalam tempoh lima atau enam tahun yang lalu, wanita Iraq mempunyai peluang yang lebih besar, katanya, tetapi ruang untuk mereka membangun masih sangat terhad.

“Sesetengah wilayah lebih tradisional berbanding yang lain,” tambahnya, yang menyekat lagi peluang wanita untuk mempunyai kerjaya atau memulakan projek.

Dikelilingi lelaki, Ghanem berkata dia sendiri pernah mengalami seksisme dan bimbang tentang gangguan.

“Apabila saya pergi berjumpa pembekal buat kali pertama, saya benar-benar melihat betapa rumitnya ia,” katanya.

Kini, dia bekerja dari rumah, tetapi dia juga mempunyai impian iaitu untuk memiliki restoran sendiri yang mementingkan kesihatan di mana dia boleh membantu meningkatkan darjat ahli perniagaan wanita Iraq.

“Saya mahu menjadikannya sebagai tempat untuk menyokong wanita yang ingin bekerja dalam sektor ini,” katanya. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Kishida umum rancangan Indo-Pasifik baharu di India

NEW DELHI, 20 MAC - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida hari ini menjemput rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi untuk menghadiri sidang kemuncak negara-negara...
- Advertisment -