Usahawan kraf tidak ‘menang tangan’ siapkan replika bot dan kapal

KUALA TERENGGANU – Tatkala ramai usahawan buntu memikirkan kelangsungan perniagaan mereka akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Wan Nordin Wan Abdullah pula tidak ‘menang tangan’ menyiapkan replika bot dan kapal yang ditempah pelanggan.

Usahawan kraf berusia 64 tahun itu berkata beliau tetap menerima pelbagai tempahan secara konsisten daripada peminat replika tersebut dari seluruh Malaysia walaupun dalam tempoh PKP dikuatkuasakan Mac tahun lepas.

“Kebanyakan pelanggan adalah peminat koleksi replika bot dan kapal…ada juga jabatan kerajaan, syarikat korporat dan swasta yang membuat tempahan untuk dijadikan cenderahati kepada orang kenamaan.

“Alhamdulillah, perniagaan saya tidak terjejas dengan pandemik COVID-19 ini. Apabila sudah siap, ia akan dihantar menggunakan khidmat syarikat kurier kepada pelanggan,” katanya yang mula membuat replika pelbagai jenis pengangkutan air itu sejak 35 tahun lalu ketika ditemui pemberita di bengkelnya dekat Pulau Duyong di sini.

Bapa kepada lima anak itu berkata beliau berkemahiran dalam menghasilkan 10 jenis replika pengangkutan air tradisional Terengganu iaitu perahu besar pinis, perahu payang, kolek lincang, sekoci, bedar, payang barat, kolek kuel, setok, kajangan dan perahu besar bedar. Wan Nordin berkata setiap replika itu dijual antara RM150 hingga RM5,000 bergantung kepada saiz, model, tahap kerumitan dan perincian dalam pembuatannya kerana ia perlu dibuat seperti binaan yang asal demi mengekalkan keasliannya.

Wan Nordin Wan Abdullah memasang pasak kayu pada replika perahu tradisional Terengganu yang dibina di bengkelnya. – Bernama
Wan Nordin Wan Abdullah menunjukkan kapal layar jenis perahu besar pinis yang berusia kira-kira enam tahun, milik arwah abangnya Wan Othman Wan Abdullah yang diletakkan di jeti Pulau Duyong. – Bernama

Lebih membanggakan Wan Nordin apabila hasil tangannya itu turut menjadi perhiasan di kediaman beberapa pem-besar negara seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Ahmad Said.

Selain tempahan pelanggan, Wan Nordin turut berkolaborasi dengan beberapa hotel dan resort sekitar Terengganu untuk meletakkan replikanya di ruang pameran dan jualan sebagai daya tarikan pelancong.

Ditanya sejarah penglibatan awalnya membuat replika itu, Wan Nordin memaklumkan semuanya bermula apabila beliau aktif dalam  pembuatan perahu layar tradisional Terengganu ketika masih muda termasuk ‘Naga Pelangi 2’ yang terbesar dan paling mahal (RM4 juta) pernah ditempah oleh seorang warga Jerman di Pulau Duyong pada tahun 2007.

Wan Nordin berkata beliau terlibat dalam pembuatan peralatan pelayaran menggunakan besi dan tali untuk mengukuhkan struktur layar perahu Naga Pelangi 2 tersebut.

“Istilah perahu untuk penduduk Terengganu pada zaman dahulu adalah merujuk kepada semua pengangkutan air tanpa enjin. Proses pembuatan perahu di Pulau Duyong sangat unik kerana ia dibuat tanpa sebarang pelan rekaan yang formal.

“Pelanggan hanya beritahu panjang, lebar, anggaran kos, jumlah bilik atau ruangan khas dan ciri-ciri lain perahu tersebut. Secara semula jadi, gambaran kapal itu sudah ada dalam fikiran tukang kayu. Itu keistimewaan di Pulau Duyong dan pengalaman bersama generasi terdahulu membolehkan saya juga membuat replika bot dan kapal tanpa sebarang pelan rekaan,” katanya.

Kepakaran yang dimilikinya itu juga membuatkan khidmatnya ditagih untuk menyiapkan peralatan pelayaran tiga kapal yang digunakan ketika penggambaran drama bersiri antarabangsa The Adventures Of Marco Polo untuk siaran Netflix pada tahun 2014.

“Sepanjang sebulan saya di set penggambaran itu, saya menerima bayaran RM100,000 iaitu yang tertinggi pernah saya terima sepanjang hidup. Itu kenangan paling manis buat saya kerana pernah terlibat dalam produksi antarabangsa,” katanya.

Meskipun tidak lagi terlibat dalam pembuatan perahu layar tradisional Terengganu kerana tiada lagi permintaan, kerinduannya itu tetap terubat melalui pembuatan replika dan kini Wan Nordin gigih menurunkan ilmu kepada generasi baharu melalui kerjasama de-ngan Yayasan Diraja Sultan Mizan dan Universiti Malaysia Terengganu agar seni itu tetap terpelihara untuk tatapan anak cucu pada masa akan datang.

“Nasihat saya untuk generasi muda, belajar dan sayangilah warisan seni budaya kita kerana kemahiran itu boleh menjadi sumber pendapatan pada bila-bila masa tanpa dijangka,” katanya. – Bernama