Usahawan muda, Wanita CCC BSB teroka Daerah Temburong

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Kira-kira 50 orang ahli Dewan Perniagaan China Bandar Seri Begawan (CCC BSB) telah mengadakan lawatan ke Daerah Temburong untuk melihat lebih dekat beberapa tarikan yang terdapat di daerah berkenaan.

Dianjurkan oleh Bahagian Usahawan Muda dan Usahawan Wanita CCC BSB, lawatan itu turut disertai oleh Presiden CCC BSB, Malcolm Lim Tiong Han @ Lim Peh Beng.

Ketika ditemu bual, Malcolm Lim Tiong Han berkata, objektif utama lawatan berkenaan adalah untuk menggalakkan pelancongan tempatan dan untuk mendapatkan pemahaman mengenai budaya, makanan dan geografi setempat.

“Saya mempunyai harapan tinggi bahawa CCC BSB dapat melabur dalam sektor pelancongan terutamanya di Temburong. Kami tidak mahu bersaing sebaliknya ingin bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan untuk memperbaiki lagi kemudahan dan keselamatan seperti zoo mini, mana-mana tempat mendaki yang bagus, sungai dan air terjun berpemandangan indah, ladang ayam itik bagi kanak-kanak dan lain-lain.

“Kami boleh membawa idea-idea dari luar negara dan menggabungkannya untuk menghasilkan lebih banyak tarikan termasuk kampung kebudayaan,” ujar beliau.

Sesi bergambar ramai warga CCC BSB bersama pegawai Sekolah Pai Yuek Temburong.
Malcolm Lim Tiong Han @ Lim Peh Beng semasa melawat perusahaan telur masin di Daerah Temburong.

Beliau turut menekankan harapan bahawa pelancongan tempatan dapat diperbaiki dengan menyediakan lebih banyak pakej-pakej menarik untuk menarik minat bukan sahaja orang muda malah warga emas dan kanak-kanak ke Daerah Temburong.

Dengan pembukaan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, tambah beliau, telah membantu memudahkan perjalanan ke dan dari Temburong.

Presiden CCC BSB juga menyatakan keperluan untuk memberigakan lagi tarikan-tarikan tempatan dengan memperbaiki kemudahan-kemudahan dan keselamatan adalah antara komponen penting dalam merangsang lagi pelancongan tempatan.

Perhentian pertama dalam lawatan itu ialah Sekolah Pai Yuek, Temburong di mana mereka dialu-alukan oleh pengerusi sekolah, Lim Eng Bang dan pengetuanya, Thong Kawang Soon.

Menurut Lim Eng Bang, sekolah berkenaan mempunyai sejarah panjang dari seawal 1950an.

Pada masa ini, ia merupakan satu-satunya sekolah Cina di Temburong dan mempunyai 83 orang pelajar dengan kurang daripada 10 peratus berketurunan Cina.

Dengan kos operasi lebih $10,000 sebulan, pendapatan sekolah berkenaan hanya bergantung pada bayaran sekolah pelajar.

Bagi pihak CCC BSB, Malcom Lim bersama ahli-ahli eksekutif lain telah menyerahkan sumbangan berjumlah $2,000 kepada sekolah berkenaan yang berjanji untuk menggunakannya untuk kemudahan sekolah dan pendidikan bagi pelajar.

Lim Eng Bang turut menyampaikan penghargaannya kepada CCC BSB atas sumbangan berkenaan.

Rombongan kemudian meneruskan lawatan ke salah sebuah syarikat kuari di Temburong dan seterusnya pengeluar telur masin tempatan, Hazeeyah Agro Farm.

Ladang yang dimiliki oleh Dayang Nurhaziyah binti Abdul Rahman dan suami itu boleh menghasilkan kira-kira 400 biji telur itik sehari bagi pasaran tempatan. Perusahaan berkenaan dimulakan pada 2016 dan terus berkembang dengan beribu-ribu itik di ladang mereka.

Selepas makan tengah hari, rombongan CCC BSB melawat Pekan Bangar kemudian ke sebuah rumah panjang.