Usahawan pertanian organik terus dihargai

VIENTIANE – Bouavieng Phetthalanekham yang memiliki minat mendalam dalam bidang pertanian sejak usianya masih kecil telah berjaya mendapat pengiktirafan berikutan daripada jasanya dalam mengusahakan pelbagai jenis perniagaan termasuk ladang tumbuhan organik.

Bouavieng dilahirkan pada tahun 1966 dan membesar dalam latar keluarga petani di kawasan perkampungan Phonxay, Daerah Xaysettha, Vientiane.

Keluarganya kini menetap di kawasan perkampungan Tanmixay, Daerah Xaythany, Vientiane.

Beliau juga merupakan Pengarah Syarikat Settha Agriculture Sole, sebuah firma swasta yang mengusahakan ladang organik seluas 50 hektar di kampung Phoukham, Daerah Xaythany.

Baru-baru ini, dia telah berpeluang untuk menerima Anugerah Usahawan Wanita ASEAN Cemerlang 2018 dari Rangkaian Usahawan Wanita ASEAN (AWEN).

Bouavieng Phetthalanekham telah diberikan Anugerah Usahawan Wanita ASEAN Cemerlang 2018 dari Rangkaian Usahawan Wanita ASEAN (AWEN) atas usahanya dalam memperkembangkan ladang pertanian organik di Vientiane. – Vientiane Times/ANN

Hampir 100 ahli perniagan dari negara-negara ASEAN telah dicalonkan bagi anugerah tersebut termasuk sembilan dari Laos yang turut menghadiri upacara penyampaian anugerah yang berlangsung di Bangkok bagi menghormati usaha yang ditonjolkan oleh para wanita dalam perniagaan dan juga turut mengukuhkan rangkaian.

Anugerah ini diadakan bagi tujuan untuk menyeru 10 negara anggota ASEAN agar sentiasa mendukung kaum wanita yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan khususnya bagi mewujudkan peluang dan bersama menghargai usaha mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran bagi berdikari dalam menyara kehidupan sendiri.

Malah ia juga dianjurkan dengan tujuan untuk menjadikan wanita ASEAN lebih kompetitif dan berjaya sebagaimana setanding dengan pencapaian wanita lain di peringkat antarabangsa.

“Sejujurnya saya berasa sangat gembira dan cukup dihormati melalui Anugerah Usahawan Wanita ASEAN Cemerlang 2018 yang saya terima ini khususnya dalam meningkatkan lagi perkembangan pertanian organik,” jelas Bouavieng.

“Kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa kerjasama dengan beberapa sektor dan saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada AWEN, Persatuan Perniagaan Wanita Laos dan organisasi lain,” jelasnya.

Settha Agriculture Sole telah mengusahakan pertanian organik apabila firma tersebut telah diberikan sebidang tanah dalam kontrak selama 50 tahun oleh kerajaan bagi mewujudkan ladang organik di pinggir Vientiane.

“Sebelum mengusahakan ladang organik, kami pernah mencuba bidang ternakan namun ternyata ia tidak berjaya dan kami tetap memilih untuk mengusahakan bidang pertanian organik ini pada tahun 2014,” jelas Bouavieng yang berasa sangat berpuas hati akan pencapaiannya setakat ini.

Ladang pertanian ini dikenali sebagai Sethavangso Garden dan memang disambut baik oleh orang awam. Ia juga turut berperanan sebagai pusat pembelajaran pertanian terutamanya dalam mengajar teknik dan kemahiran tanaman organik.

Malah, ladang tersebut juga sentiasa mengalu-alukan pengunjung yang berhasrat untuk mempelajari mengenai bidang tanaman organik khususnya para pelajar yang sangat berminat dalam bidang pertanian.

Baru-baru ini, beberapa wakil dari pelbagai ladang organik di seluruh Laos telah menghadiri sesi latihan di ladang tersebut.

Mereka membincangkan mengenai pengalaman terutama berhubung dengan aspek pertanian dan kaedah tanaman bersama dengan pakar di ladang.

Lebih daripada 10 jenis pokok buah-buahan dan pelbagai jenis salad yang ditanam dengan menggunakan sistem hidroponik ditanam di ladang tersebut.

Lembu, kerbau dan ayam turut diternak di ladang tersebut yang mana najis haiwan turut dapat digunakan sebagai baja organik.

Hasil tanaman dari ladang tersebut akan terus dihantar ke Pasar Segar Settha di That Luang, restoran-restoran, hotel dan beberapa buah pasar mini di Vientiane.

Taman Sethavangso memang cukup dikenali oleh penduduk kampung Phoukham di mana ia dianggap sebagai sebahagian daripada komuniti dan kerap mendukung dari aspek pendidikan kepada kanak-kanak serta turut menyediakan peluang pekerjaan kepada wanita dan penduduk di kawasan itu.

Bouavieng turut berkesempatan untuk memberitahu kepada Vientiane Times bahawa syarikatnya memang memiliki perancangan untuk menjadikan Taman Sethavangso sebagai model ladang organik yang berpotensi untuk menarik lebih ramai pengunjung sekali gus mewujudkan pendapatan tambahan kepada warga tempatan.

Selama bertahun-tahun, Bouavieng telah menerima banyak anugerah lain yang diberikan oleh kerajaan termasuk Kelas Perintah Buruh 1 dan Kelas Perintah Pembangunan 1 serta beberapa sijil pengiktirafan berikutan sumbangannya terhadap aspek pembangunan sosial.

Dia juga telah banyak membantu petani lain dengan memberikan pinjaman bagi menggalakkan mereka untuk terus bergiat dalam aktiviti pertanian secara organik sekali gus berpeluang untuk menghasilkannya bagi kegunaan pasaran tempatan termasuk di restoran dan hotel.

Jumlah pertanian secara organik juga dikatakan telah meningkat daripada 45 ke 192.

Bouavieng juga telah banyak mempromosikan pembangunan kapasiti dalam kalangan wanita sekali gus sering memberikan bantuan tanpa memikirkan mengenai aspek keuntungan. – Vientiane Times/ANN