GAZIANTEP, Turki – Di bandar raya Gaziantep, Turki, tempat tinggal kepada sekitar setengah juta warga Syria yang telah melarikan diri dari perang saudara di selatan sempadan, ratusan perniagaan warga Syria telah berkembang pesat di sana sama ada bagi komuniti pengungsi dan juga negara tuan rumah.
Lebih 3.5 juta warga Syria telah didaftarkan di Turki, jauh lebih ramai daripada negara-negara lain yang telah mengalu-alukan pelarian peperangan tersebut.
Pegawai Turki menyatakan bahawa beban ekonomi yang dihadapi negara-negara penganjur pelarian adalah kerana kehadiran mereka yang begitu ramai. Namun itu adalah sebaliknya, yang mana kebanyakan daripada mereka berkelayakan dan berbilang bahasa serta kejayaan perniagaan mereka juga telah menjadi sumber bagi ekonomi Turki, bertentangan dengan andaian-andaian yang dinyatakan secara meluas.
Lebih daripada 6,500 syarikat yang ditubuhkan oleh warga Syria telah didaftarkan di Turki sejak awal peperangan tahun 2011, menurut Union of Chambers and Commodity Exchanges of Turkey.
Dan Forum Ekonomi Syria (SEF), sebuah organisasi yang bermatlamat untuk membangunkan keusahawanan di antara diaspora Syria, menganggarkan bahawa jumlah sebenar mungkin mencecah lebih dari 10,000 apabila sektor tidak formal dimasukkan.




Di Gaziantep sahaja, sebanyak 1,250 syarikat Syria telah didaftarkan dalam Dewan Perniagaan dan Industri Gaziantep, kata pengarah eksekutif Rami Sharrack di SEF.
Di sebuah kompleks mega di zon perindustrian Gaziantep, pengusaha Syria, Amer Hadri, ketua syarikat pembungkusan snek terkenal, Zirve Extrusion, telah berjaya meneruskan perniagaannya, yang pernah berpangkalan di bandar raya peperangan, Aleppo, hanya 125 kilometer dari selatan bandar Turki.
“Kami telah menghasilkan mesin untuk pembuatan dan pembungkusan kerepek selama lebih dari 20 tahun,” kata Hadri kepada AFP.
“Sebelum ini kami hanya mengeksportnya ke negara-negara Arab, namun sejak kami menubuhkannya di Turki, kami telah merealisasikan cita-cita kami untuk mengeksportnya ke seluruh dunia,” katanya.
Semua pembungkusan ini mempunyai label ‘Dihasilkan di Turki’, yang Hadri katakan bahawa ia adalah ‘jaminan kualiti’ di pasaran Eropah.
Seperti Hadri, ramai daripada warga Syria telah tiba di Turki dengan membawa pengalaman dan pangkalan pelanggannya. Manakala beberapa yang lain telah menyasarkan untuk meningkatkan eksport dan akses mereka ke pasaran antarabangsa.
Dania Abdulbaqi, seorang jurutera awam yang datang ke Turki dari Hama pada tahun 2013, telah membuka pusat jagaan anak damit pada bulan Ogos 2016 yang dikhususkan untuk kanak-kanak yang berusia dari tiga bulan hingga lima tahun dari pelbagai kerakyatan.
“Kaum ibu yang bekerja di daerah ini akan dapat berdekatan dengan anak-anak mereka. Mereka boleh datang dan menyusukan anak-anak mereka semasa waktu rehat.”
Bagi projek ini, Abdulbaqi telah menghadiri kursus latihan pengurusan dengan beberapa organisasi bukan berdasarkan keuntungan (NGO) di Gaziantep dan suaminya telah mengumpulkan dana dari saudara-mara mereka untuk membiayainya.




“Peningkatan besar-besaran ini telah merangsang pertumbuhan dan menarik pelaburan baharu dengan menyediakan buruh murah dan meningkatkan penggunaan,” kata Kumpulan Krisis Antarabangsa dalam satu laporannya pada tahun ini.
Ia menambah bahawa sesetengah pakar percaya kehadiran warga Syria di sana telah menambah kira-kira tiga peratus kepada pertumbuhan ekonomi Turki pada tahun 2016.
Datuk Bandar Gaziantep, Fatma Sahin, dan ahli ketua parti pemerintah Presiden Recep Tayyip Erdogan, berkata beliau menyambut baik peluang yang ditawarkan oleh usaha sama antara usahawan Turki dan Syria.
“Masyarakat dari Gaziantep dan Syria telah memulakan perniagaan mereka bersama kerana mereka mampu bertutur dua bahasa, iaitu Bahasa Inggeris dan Arab. Ia adalah suatu kelebihan yang sangat penting terutamanya dalam perdagangan antarabangsa,” katanya kepada AFP.
Ekonomi pada umumnya telah menjadi ‘triump card’ buat Erdogan dalam masa 15 tahun penguasaannya. Tetapi, dengan jumlah pengangguran dan inflasi melebihi daripada 10 peratus, terdapat kebimbangan mengenai asas kesihatan ekonomi.
Mustafa Turkmenoglu, seorang warga Syria yang berasal dari Aleppo, telah meninggalkan Syria lima tahun yang lalu dan menubuhkan sebuah syarikat tekstil di Gaziantep.
“Semua peniaga di sini menerima dolar dari luar negara,” katanya. “Kami mendapat manfaat daripadanya dan juga di tempat lain. ”
Turkmenoglu telah mengambil 40 pekerja Syria dalam bengkel dan lima kedainya. Dia berkata bahawa pasaran dan permintaan di Turki adalah sungguh menggalakkan.




Pihak kerajaan juga telah melonggarkan peraturannya untuk memudahkan warga Syria membuka perniagaan, meskipun menghadapi ketegangan di sebalik layanan yang baik. Ankara bersetuju untuk mengenakan syarat yang sama untuk semua orang.
Tetapi dalam hal perniagaan Syria, pihak berkuasa kelihatannya, pada masa ini, ‘menahan’ satu peraturan di mana sesebuah syarikat perlu mengambil mengambil lima pekerja Turki bagi setiap warga asing, kata Omar Kadkoy, rakan penyelidikan di Taspav yang berpangkalan di Ankara.
Namun masalah utama masih ada, kebanyakannya berkaitan dengan isu jangka panjang tentang bagaimana untuk mengintegrasikan sepenuhnya terhadap komuniti pelarian yang jumlahnya begitu besar dalam kehidupan masyarakat Turki.
Walaupun Ankara telah membenarkan permit pekerjaan itu dikeluarkan kepada pelarian Syria pada Januari 2016, kurang daripada satu peratus yang mempunyainya pada masa ini, walaupun dua pertiga daripada pelarian adalah dalam usia bekerja, kata Kadkoy.
Beliau menambah bahawa halangan lain adalah sebahagian besar penduduk pelarian Syria tidak tahu berbahasa Turki, yang mana sama sekali berbeza dengan Bahasa Arab dan tiada adanya dasar yang aktif untuk mengajar mereka.
Penduduk Syria juga takut untuk kehilangan akses bantuan mereka, yang mana sebagai pelarian mereka adalah layak, jika mereka memasuki pasaran buruh formal, menurut Kadkoy.
“Mereka berpendapat bahawa jika mereka mendapat pekerjaan rasmi, bantuan mereka akan ditamatkan, yang mana ianya benar, namun isunya di sini adalah apabila terdapatnya bantuan, pastinya ia tidak akan kekal selama-lamanya.
“Semakin cepat mereka mendapat pekerjaan, lebih baik untuk mengekalkan pendapatan dalam jangka panjang,” katanya. – AFP