KINGSTON, 19 MEI – Legenda pelari pecut Olimpik berasal dari Jamaica, Usain Bolt, telah menjadi seorang ayah selepas menyambut kelahiran anak perempuan dengan pasanganya, Kasi Bennett, kelmarin.
Perdana Menteri Jamaica, Andrew Holness mengesahkan kelahiran anak perempuan Bolt menerusi media sosial.
“Tahniah kepada legenda pelari pecut Usain Bolt dan Kasi Bennett dengan kelahiran seorang anak perempuan!” tulis Holness menerusi Twitter.
Media tempatan melaporkan anak perempuan pasangan tersebut dilahirkan pada Ahad lalu.
Tiada sebarang butiran lanjut diberikan.
Bolt, 33, mendedahkan dia bakal menimang anak perempuan dengan Bennett menerusi media sosial pada Mac lalu, berjenaka dengan memberi amaran agar pemuda-pemuda tidak mengganggu anaknya.
Bolt, pemegang rekod dunia 100m dan 200m, bersara dari atletik pada tahun 2017 setelah sedekad mendominasi dalam pecut lelaki.
Dalam Olimpik 2016, Bolt menjadi satu-satunya pemenang yang memenangi kejuaraan 100m dan 200m dalam tiga sukan Olimpik berturut-turut.- AFP




























