USATF batal hasrat jalani latihan di Jepun

TOKYO, 13 MEI – Pasukan Padang dan Balapan Amerika Syarikat (AS) membatalkan rancangan untuk latihan pra-Olimpik di Jepun disebabkan kebimbangan mengenai keselamatan semasa pandemik, kata pegawai Jepun.

Atlet AS sepatutnya mengadakan latihan di Chiba, luar Tokyo, sebelum Sukan Olimpik yang tertunda membuka tirai pada 23 Julai. Tetapi pihak serantau Chiba berkata dalam kenyataan pasukan tersebut telah membatalkan hasrat mereka ‘kerana kebimbangan mengenai keselamatan atlet ketika pandemik koronavirus berterusan di seluruh dunia dengan tiada tanda-tanda semakin reda.”

“Meskipun pembatalan tersebut adalah sesuatu yang sangat dikesali, kami merasakan ia adalah keputusan terbaik memandangkan situasi ketika ini,” menurut mereka.

Pasukan AS (USATF) berkata rancangan mereka teruk terjejas dan menambah bahawa atlet digalakkan untuk menjalani latihan di AS.

“Dengan ketidaktentuan menyelubungi kejohanan pada 2020 dan 2021, USATF memberikan peluang kejohanan domestik dan menggalakkan atlet pasukan USATF untuk kekal di AS dan berlatih,” menurut jurucakap dihantar ke AFP. Kem pra latihan di seluruh Jepun telah dibatalkan sama ada oleh bandar tuan rumah atau atlet melibatkan kebimbangan virus ketika negara tersebut bertarung dengan gelombang jangkitan keempat.

Tokyo dan beberapa kawasan di Jepun berada di bawah perintah darurat, dan kerajaan berdepan tekanan atas pengagihan vaksin yang perlahan.

Penganjur berkata langkah antivirus akan memastikan sukan diadakan dengan selamat dan mengadakan beberapa acara ujian baru-baru ini, termasuk beberapa penyertaan antarabangsa, yang diadakan tanpa menyebabkan kluster virus. – AFP

Aksi atlet USATF semasa memenangi kejohanan yang diadakan baru-baru ini di California. USATF berkata mereka membatalkan hasrat untuk latihan pra-Olimpik di Jepun. – AFP