Usia bukan penghalang untuk mengembara

KUALA LUMPUR – Usia bukan penghalang bagi warga emas mengembara dengan beg galas (backpacking) jika kesihatan dan semangat mengizinkan.

Baru-baru ini, seramai 25 warga emas berusia 55 tahun ke atas telah mengikuti kembara perjalanan dengan kereta api secara ‘backpackers’ menggunakan laluan kereta api Trans-Siberia (TSR).

Perjalanan selama 21 hari bermula 5 September lepas merentasi China, Mongolia, Rusia, Estonia dan Finland dengan menaiki sebanyak tujuh kereta api lama dan terbaharu, serta kapal persiaran, meninggalkan memori indah buat mereka.

Bagi pengendali tadika Jariah Baharom, 66, walaupun terpaksa turun naik kereta api dengan mengangkat beg serta beg galas yang berat, beliau begitu aktif dan cergas sepanjang perjalanan.

Begitu juga dengan Sahib Singh, 66, yang masih bekerja di sebuah syarikat swasta, gembira kerana impiannya untuk mengembara dengan kereta api Trans-Siberia tercapai.

Seramai 25 warga emas berusia 55 tahun ke atas telah mengikuti kembara perjalanan dengan kereta api secara ‘backpackers’ menggunakan laluan kereta api Trans-Siberia (TSR). – Agensi

“Saya turut rasa gembira kerana mendapat kawan-kawan baharu serta pengalaman yang menarik,” katanya.

Rombongan yang disertai seramai 44 peserta dengan yang paling tua berusia 67 tahun dan yang paling muda dua tahun, memulakan perjalanan mereka dengan kereta api mel dari Beijing ke Selatan Jining sebelum bertukar kereta api ke sempadan China di Erlian.

Para peserta kemudian menaiki bas untuk ke sempadan Mongolia di Zamiin-udd sebelum meneruskan perjalanan kereta api selama 14 jam ke Ulaanbaatar.

Di Mongolia, para peserta berkesempatan untuk merasai kehidupan di dalam khemah atau ‘gers’ iaitu tempat tinggal suku Mongol yang hidup berpindah-randah satu ketika dulu, di luar bandar raya itu.

Gers yang diinapi, Magic Rock Tourist Camp di Terelj National Park, Nalaikh, kira-kira lebih sejam perjalanan dari ibu negara Mongolia dikendalikan oleh rakyat Malaysia Kelvin Chong.

Dari Ulaanbaatar, mereka turut berhenti di beberapa bandar raya di Rusia iaitu Irkutsk, Kazan, Moscow  dan St Petersburg sebelum meneruskan perjalanan ke Tallinn, Estonia untuk menaiki kapal persiaran ke Helsinki, Finland sebelum pulang ke tanah air, dan ada yang meneruskan perjalanan ke negara-negara Eropah.

Projek mengembara secara beg galas dengan menaiki kereta api itu adalah hasil usaha peminat tegar kereta api Mohd Faizal Che Aim, 45, atau lebih dikenali sebagai BCA Faizal yang telah banyak mengembara dengan menaiki kereta api, bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di Eropah. – Bernama