‘Usia hanya angka’

PARIS, 26 JUN – Dua puluh tahun selepas penampilan sulung, Roger Federer mengintai peluang untuk menjulang gelaran Wimbledon buat kali kesembilan, sekali gus memburu tempat dalam sejarah sebagai pemain paling tua merangkul kejuaraan perseorangan Grand Slam.

Federer yang akan berusia 38 tahun Ogos ini, sudah muncul sebagai pemain tertua memenangi perseorangan lelaki Wimbledon dalam era moden selepas menang pada 2017 pada usia 35 tahun.

Pemain dari Australia Ken Rosewall berusia 37 tahun apabila dia menang Terbuka Australia pada 1972, satu jurang usia yang diharap Federer mampu dipecahkan apabila Wimbledon bermula Isnin ini.

“Saya suka berada di sini. Ia satu perasaan yang bagus. Saya mempunyai memori hebat. Semua wira saya menang di sini. Setiap kali kembali ke sini, saya cuba untuk menjadi seperti mereka,” kata Federer yang juga pemenang 20 gelaran utama.

Bagaimanapun, di sebalik rasa ikatannya terhadap Kelab All England, persaingan untuk menambah bilangan trofinya di London menjadi semakin sukar.

Kejuaraan kelapan dan terakhir Wimbledon buatnya hadir selepas kemenangan mudah tiga set ke atas Marin Cilic pada final 2017.

Federer terlalu sukar digugat tahun itu, tidak kalah walau satu set sepanjang kejohanan selama dua minggu ketika pencabarnya tumbang satu persatu.

Kejayaan ketujuh Federer di Wimbledon dicapai lima tahun lalu selepas berjaya mengalahkan Andy Murray pada final. Enam kejuaraan pertamanya dirangkul pada 2003, 2004, 2005, 2006, 2007 dan 2009. – AFP

Federer bergambar bersama trofi kejuaraan selepas menewaskan David Goffin di Terbuka Halle di Jerman pada 23 Jun lalu. – AFP