LOS ANGELES, 26 Sept – Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat (USOC) yakin dengan tahap keselamatan menjelang penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018, di sebuah bandar dekat dengan sempadan Korea Selatan dengan Korea Utara, lapor agensi berita China Xinhua.
Kejohanan yang julung kali diadakan di Korea Selatan itu dijadualkan berlangsung pada awal Februari tahun depan.
Ketua eksekutif USOC Scott Blackmun berkata, susulan ketegangan di Semenanjung Korea, pihaknya sedang memantau keadaan dan setakat ini belum ada atlet yang menyuarakan kebimbangan.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Tahunan Ketua-Ketua USOC di Park City Utah.
Scott Blackmun berkata, USOC telah berhubung dengan jabatan negara, penguatkuasa undang-undang serta mengadakan pertemuan dengan empat pemimpin tentera AS di Korea Selatan bulan lepas, memetik laporan Los Angeles Times.
Pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini negara itu berdepan masalah virus Zika serta ancaman serangan pengganas.
Isu keselamatan menjadi tumpuan ekoran ketegangan antara Presiden AS Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un yang semakin memuncak sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Menteri Sukan Perancis, Laura Flessel dan ketua Jawatankuasa Olimpik Austria Karl Stoss baru-baru ini dilaporkan berkata, negara mereka akan memulaukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018, jika Korea Selatan gagal memberikan jaminan terhadap keselamatan atlet. – Bernama