Usop bertunang dengan model, jumpa jodoh di majlis ‘open house’

Dua tahun menjalinkan hubungan persahabatan, penyanyi Usop Mentor membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya, Nur Fatihah Md Hashim pada Khamis lalu.

Bersyukur majlis berjalan lancar seperti dirancang, Usop atau nama sebenar Muhammad Saiful Naim Mohd Nor, 24, berkata dia sudah bersedia bergelar suami kepada model sambilan berusia 25 tahun itu.

“Insya Allah ikut perancangan Februari depan kami akan bernikah… kalau ikutkan saya memang nak cepat-cepat kahwin tetapi ada beberapa tugasan dan komitmen kerja yang belum selesai,” katanya.

Pasangan ini mengadakan majlis pertunangan secara tertutup di sebuah dewan berdekatan kediaman keluarga Fatihah terletak di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.

Berkongsi perkenalan awal, Usop berkata dia mengenali Fatihah yang juga merupakan kakitangan di sebuah syarikat swasta ketika menghadiri majlis rumah terbuka sahabatnya di Kedah pada tahun 2019.

“Saya jumpa dia di majlis rumah terbuka seorang sahabat. Pertama kali tengok dia hati saya dah terpikat… cantik dan tinggi orangnya.

“Saya minta akaun Instagram dia, masa itu hanya sekadar nak berkawan sahaja,” katanya. – Agensi

Usop Mentor membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya, Nur Fatihah Md Hashim. – Agensi