Dua tahun perkenalan akhirnya penyanyi Usop selamat bernikah kepada pasangan pilihannya, Nur Fatihah Md Hashim dengan sekali lafaz kira-kira pukul 10 pagi waktu tempatan, baru-baru ini.
Pasangan itu diijab kabul dalam sebuah majlis akad nikah yang diadakan secara tertutup di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam dekat Penaga, Pulau Pinang.
Dalam majlis pernikahan itu, Usop menyerahkan mas kahwin sebanyak RM3,000 serta seutas gelang tangan sebagai acara batal air sembahyang.
Penyanyi lagu Selamanya ini menerima sembilan dulang hantaran daripada pihak perempuan dan berbalas tujuh dulang dari pihak lelaki.
Melahirkan rasa syukur, Usop atau nama sebenarnya Muhamad Saiful Naim Mohd Noor berharap dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik biarpun usianya masih muda.
Penyanyi berusia 24 tahun ini turut berkata dia ingin menjadi seorang suami yang terbaik buat Fatihah, 25.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta mereka yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.
“Saya ingin menjadi suami yg terbaik buat Fatihah. Ini adalah janji saya kepada keluarga bagi memastikan ikatan ini terus berkekalan,” katanya.
Berkongsi mengenai cahaya mata, naib juara Mentor Milenia 2017 dan Big Stage 2020 ini enggan terburu-buru kerana ingin fokus membina kehidupan sebagai suami isteri. – Agensi