Ustaz kumpul 5,000 barangan antik

PORT DICKSON – Pinggan lama yang dibuang Allahyarham ibunya mencetuskan minat Mahadhir Ab Rahman, 39, mengumpul barangan lama dan antik yang disifatkannya mempunyai nilai seni yang tinggi.

Beliau berkata minat semakin mendalam selepas mengetahui keluarganya turut mempunyai koleksi peribadi iaitu pinggan peninggalan moyang mereka dipercayai dari zaman Kesultanan Melayu Melaka dan zaman penjajahan British.

“Pinggan tersebut menyimpan banyak kenangan dan mempunyai nilai sejarah yang berharga dan secara tidak langsung nilai sentimen ada pada pinggan tersebut telah menjadikan diri saya lebih menghargai barangan peninggalan nenek moyang.

“Kerja-kerja mengumpul barangan lama menjadi lebih serius bermula sejak tahun 2005 dan kebanyakan barangan antik dikumpul adalah koleksi milik keluarga saya sendiri. Malah ada juga yang dibeli di pasaran tempatan dan luar negara atau pemberian orang atau bertukar dengan kawan-kawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama di rumahnya di Pasir Panjang, di sini.

Mahadhir Ab Rahman ketika ditemu ramah wartawan Bernama. – Bernama
Pelbagai variasi seterika lama antara koleksi barangan antik yang masih disimpan rapi. – Bernama
Kira-kira 5,000 koleksi pelbagai barangan dan jenama milik Mahadhir Ab Rahman dari 1930 hingga 1980an termasuk pinggan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang diwarisi keluarga sejak turun temurun. – Bernama
Mahadhir Ab Rahman menunjukkan barangan perhiasan diri iaitu gelang kaki dari koleksi ibu saudaranya. – Bernama
Pelbagai koleksi tin dan kotak rokok yang sukar ditemui pada masa kini masih tersimpan rapi. – Bernama

5,000 koleksi pelbagai barangan lama

Mahadhir yang dikenali sebagai ‘Ustaz Mahdi’ berkata rumah arwah ibunya dijadikan galeri mini untuk menyimpan koleksi pelbagai jenis barang antik miliknya dan ia juga dibuka untuk orang ramai.

Umpama mini muzium, pelbagai koleksi memenuhi ruangan rumah itu termasuk barangan perkakasan rumah seperti pinggan mangkuk, jam loceng, kamera, radio, pelita, seterika, telefon, beg besi lama dan rokok lama sejak zaman 1940an.

“Saya tidak seperti sesetengah orang yang hanya tertumpu kepada satu barang sahaja seperti hanya mengumpul setem atau mengumpul syiling lama.

“Bagi saya asalkan barang itu lama, saya akan kumpul dan simpan dan sekarang kira-kira 5,000 koleksi pelbagai barangan dan jenama milik saya dari tahun 1930 hingga 1980-an termasuk pinggan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang diwarisi keluarga sejak turun temurun berada dalam koleksi saya,” katanya.

Anak ketiga daripada lima adik-beradik ini juga turut menyimpan gramofon berserta piring hitam sejak zaman British yang diberikan oleh bapa saudaranya.

Barangan Antik Dapat Sewaan Tinggi

“Saya amat meminat lagu Melayu Klasik dan kebanyakan koleksi piring hitam milik saya adalah nyanyian Momo Latiff, Nona Asiah dan Rokiah Wanda.

“Saya akan memainkan gramofon ini pada waktu malam dengan memainkan lagu dari piring hitam ini sambil menikmati secawan kopi sekali gus mengimbau nostalgia dan kenangan lama,” katanya.

Selain itu, Mahadhir berkata beliau sanggup pergi ke luar negara seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja bagi mendapatkan barangan unik yang sukar dijumpai di negara ini.

“Saya akan ke Indonesia untuk mendapatkan barangan antik zaman Belanda. Di sana barangan diperbuat dari Belanda seperti pinggan, telefon dan mesin taip senang diperolehi selain kos membeli barangan tersebut tidak begitu tinggi,” katanya.

Mahadhir berkata koleksi antik miliknya juga mendapat permintaan sewaan yang tinggi daripada pelbagai pihak seperti hotel, agensi kerajaan dan syarikat swasta terutama pada musim perayaan.

“Terdapat tiga atau empat buah hotel di sekitar Port Dickson ini menyewa barangan antik milik saya untuk dijadikan dekorasi hotel dengan menggunakan tema kampung atau klasik. Selain itu ada juga pihak yang mengadakan majlis makan malam telah membuat permintaan untuk membuat satu dekorasi rumah kedai,” katanya sambil menegaskan koleksi antik miliknya tidak dibuka untuk jualan.

Mahadhir berkata beliau berhasrat membesarkan galerinya, namun kawasan galeri itu agak terhad dan berharap kerajaan negeri atau mana-mana pihak dapat membantu dari segi dana. – Bernama