Usul Brexit tanpa perjanjian ditolak

LONDON, 14 Mac – Anggota Parlimen United Kingdom pada Rabu mengundi menentang langkah Britain meninggalkan Kesatuan Eropah tanpa sebarang perjanjian keluar.

Keputusan undian 312 menentang berbanding 308 menyokong menyaksikan anggota Parlimen memihak kepada usul yang menolak Brexit “tanpa perjanjian” di bawah apa jua keadaan.

Perdana Menteri Britain Theresa May berkata terdapat satu “majoriti yang jelas” yang menentang Brexit tanpa perjanjian namun “kemungkiran undang-undang” yang mungkin berlaku ialah UK akan keluar tanpa sebarang perjanjian pada 29 Mac jika tiada kata sepakat dicapai.

Pada Khamis, anggota Parlimen akan mengundi sama ada untuk menangguhkan Brexit.

Pengundian itu, jika keputusannya adalah memihak – dan EU bersetuju dengannya – maka UK tidak akan keluar daripada EU seperti yang dirancang pada 29 Mac.

Meskipun usul yang mungkin diluluskan itu tidak mempunyai kuasa perundangan dan pada akhirnya tidak berupaya mengekang langkah keluar tanpa perjanjian selepas penangguhan, ia membawa pengaruh politik yang kuat.

Selepas rundingan selama dua tahun setengah dan dua percubaan yang gagal untuk meluluskan perjanjian Brexit yang diusulkan May, keputusan pengundian yang menentang langkah keluar EU tanpa sebarang perjanjian masih mencetuskan tanda tanya berkaitan isu bagaimana, bila dan apakah syarat-syarat Britain untuk meninggalkan kelab yang disertainya pada 1973.

Selepas anggota Parlimen menolak usulnya berkaitan perjanjian Brexit buat kali kedua pada Selasa, May berkata ia masih merupakan pilihan terbaik untuk keluar daripada EU secara teratur.

Menjelang pengundian pada Rabu, mata wang pound mengalami kenaikan harian tertinggi pada 2019 apabila pelabur bertaruh kepada keputusan pengundian yang menentang Brexit tanpa perjanjian. Ia meningkat lagi selepas keputusan pengundian.

Semasa krisis Brexit United Kingdom yang berlanjutan selama tiga tahun semakin menghampiri episod akhir, para diplomat dan pelabur melihat empat pilihan utama: satu penangguhan, perjanjian Brexit May diluluskan pada saat-saat terakhir, langkah keluar tanpa perjanjian yang tidak disengajakan atau satu lagi referendum. – Bernama/NNN/Agensi