Usul lanjut rundingan Perkara 50 disokong

LONDON, 15 Mac – Anggota Parlimen Britain semalam mengundi menyokong usul meminta Kesatuan Eropah (EU) melanjutkan tempoh rundingan berkaitan Perkara 50 dalam proses Brexit yang menemui jalan buntu, lapor agensi berita China Xinhua.

Keputusan undian di Dewan Rakyat menyaksikan sejumlah 412 anggota parlimen menyokong manakala 202 lagi menentang, dengan majoriti sebanyak 210 bagi meminta persetujuan EU menangguhkan Brexit sehingga 30 Jun.

Keputusan itu bermakna Britain akan meminta kebenaran EU untuk melanjutkan tempoh rundingan berkaitan Perkara 50 selepas 29 Mac, yang merupakan tarikh Brexit.

Ia dilihat sebagai satu kejayaan kepada kerajaan Britain yang mengemukakan usul itu, manakala anggota Parlimen turut mengundi menolak satu lagi usul yang dikemukakan pembangkang iaitu Parti Buruh untuk menangani isu Brexit menerusi ‘pendekatan berbeza.’

Terdahulu, anggota Parlimen menolak satu pindaan bagi mengadakan referendum kedua.

Ia merupakan kali pertama isu referendum awam baharu terpaksa berdepan pengundian di Parlimen sejak referendum pertama dijalankan pada Jun 2016.

Pengundian semalam dibuat selepas anggota parlimen menentang kerajaan Britain pada Rabu dan memutuskan untuk menolak langkah keluar EU tanpa sebarang perjanjian dalam suasana yang disifatkan oleh penyokong Brexit sebagai ‘kelam-kabut.’

Keputusan itu dicapai 15 hari sebelum Britain dijadualkan meninggalkan Kesatuan Eropah. Tiada kesepakatan dalam kalangan pengamal politik Britain tentang bagaimana negara itu akan meninggalkan blok serantau tersebut selepas menganggotai EU selama 46 tahun.

Perkara 50 dalam Perjanjian Lisbon menetapkan bagaimana sesebuah negara anggota EU yang secara sukarela ingin me-ninggalkan kesatuan itu.

Bagaimanapun, perkataan yang digunakan agak kabur, seolah-olah penggubalnya menganggap perkara seperti itu tidak mungkin berlaku. Kini, ia tertakluk kepada pertikaian antara pemimpin EU yang terdesak mahu kepastian berhubung perkara itu susulan undian Brexit, dengan para penyokong Brexit di UK meminta lanjutan masa, kata pemerhati.– Bernama