Usul tergempar isu tuntutan Filipina terhadap Sabah dibahaskan

KUALA LUMPUR, 7 SEPT – Persidangan Dewan Negara hari ini membahaskan usul tergempar isu tuntutan Filipina terhadap Sabah yang dikemukakan oleh Senator Adrian Lasimbang di bawah Peraturan Mesyuarat 17 (1).

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim membenarkannya dan perbahasan bermula 4:30 petang mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (3) dengan pihak pencadang dibenarkan berbahas selama 30 minit dan diikuti pihak kerajaan menjawabnya dalam masa 30 minit.

Turut mengambil bahagian dalam perbahasan isu itu ialah Senator Datuk Paul Igai, Senator Alan Ling Sie Kiong, Senator Raj Munni Sabu dan Senator Liew Chin Tong.

Terdahulu, dalam pemberitahuan bersurat, Adrian Lasimbang mohon persidangan ditangguhkan mengikut peraturan mesyuarat 17 (1) bagi membahaskan berkenaan tuntutan Filipina terhadap Sabah melalui pengeluaran peta yang menyatakan bahawa negeri itu merupakan sebahagian Wilayah Filipina.

“Ini adalah satu tindakan provokatif yang menggugat dan mencabar kedaulatan undang-undang Malaysia dan Sabah yang berada dalam Persekutuan Malaysia,” katanya. – Bernama