Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-23 (AECC ke-23) yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 3 September lalu.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Tuan Yang Terutama Airlangga Hartarto dan dihadiri oleh menteri-menteri AECC dari 10 buah negara anggota ASEAN dan Timor Lester sebagai pemerhati.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dr Kao Kim Hourn.
Semasa mesyuarat, menteri-menteri AECC menyemak perkembangan di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) termasuk perkembangan 16 Priority Economic Deliverables (PEDs) Indonesia.
Menteri-menteri bersidang juga bertukar-tukar pandangan mengenai inisiatif merentas tonggak AEC yang berkaitan kepada pendigitalan, kemampanan serta perkembangan dalam pelaksanaan Pelan Induk AEC 2025.
Mesyuarat itu juga menjadi platform bagi menteri-menteri AEC untuk melancarkan rundingan Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), berikutan sokongan Rundingan bagi Kerangka dan Kajian DEFA.

DEFA dijangka akan meningkatkan potensi ekonomi digital ASEAN dalam memperbaiki kesalinghubungan digital serantau dan menyediakan peluang-peluang baharu bagi aktiviti ekonomi.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew antara lain mengetengahkan pentingnya untuk mengutamakan ekonomi digital di barisan hadapan agenda AEC di mana dengan itu, menggalakkan ASEAN untuk meneruskan momentum yang telah dibina ke arah ASEAN yang lebih berintegrasi secara digital di mana ia kekal terbuka, berasaskan peraturan dan kompetitif secara global.
Di samping itu, Yang Berhormat Dato turut menekankan keperluan bagi memanfaatkan dialog dan koordinasi merentas sektor terutamanya di bawah inisiatif kemampanan AEC yang memerlukan kolaborasi rapat dalam kalangan kerajaan serta juga dengan pihak-pihak yang berkepentingan relevan yang lain.
Semasa mesyuarat itu, menteri-menteri AECC juga menyokong Dokumen Hasil AEC 30 yang akan diketengahkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 yang bermula hari ini hingga 7 September di Jakarta, Indonesia.