Utamakan ilmu agama

Oleh Sim Y. H.

TUTONG, 7 FEB – Para rekrut Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) disarankan untuk memberikan keutamaan kepada menuntut ilmu pengetahuan serta kemahiran dan pada masa yang sama, mereka juga harus mengamalkan apa jua bentuk ilmu dan pelajaran yang diperoleh itu untuk perkara-perkara yang bermanfaat.

“Di samping melengkapi diri dengan ilmu profesional dan kemahiran ini, untuk membina sosok tentera yang mantap, adalah tidak kurang pentingnya bagi para rekrut sekaliannya untuk mendalami ilmu agama seperti akidah, ilmu fardu ain, ibadah dan juga akhlak.”

Ilmu-ilmu agama itu harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa, baik melalui pembelajaran formal atau kursus serta dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, jelas Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet), Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos ketika berucap di Upacara Perbarisan Tamat Latihan bagi Rekrut Lelaki Pengambilan ke-165 yang berlangsung di Padang Kawad Institut Latihan ABDB, Penanjong Garison, hari ini.

Beliau seterusnya menerangkan bahawa ilmu agama itulah yang akan menjadi benteng ampuh bagi mengharungi kehidupan dan alam pekerjaan yang sangat mencabar.

Beliau turut menyatakan bahawa sudah menjadi lumrah dalam pekerjaan itu, ancaman dan ujian yang mampu menggugat perasaan, kesabaran dan juga iman pasti akan ada.

Awang Mohammed Riza menyampaikan ucapannya di Upacara Perbarisan Tamat Latihan bagi Rekrut Lelaki Pengambilan ke-165 yang berlangsung di Padang Kawad Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Penanjong Garison, kelmarin.

“Maka di sinilah pentingnya para rekrut untuk mempunyai hati dan jiwa yang cekal untuk mengharungi semua asam garam kehidupan berkerjaya ini, lebih-lebih lagi kerjaya sebagai seorang tentera,” jelasnya.

Oleh itu, tegasnya lagi, nilai-nilai murni seperti rajin, titih, lutanan, sifat jujur, amanah dan integriti merupakan etika yang sangat ditekankan dalam agama.

Sementara itu, malas, sambil lewa dalam bekerja serta perbuatan seperti pecah amanah adalah perbuatan yang amat dipandang hina.

Awang Mohammed Riza menegaskan, “Maka, jagalah diri dan pikullah tanggungjawab serta kepercayaan yang telah diberikan dengan sebaiknya. Jangan dicemarkan nama baik ABDB ini disebabkan oleh perbuatan sebilangan kecil ahlinya.”

Terdahulu dalam ucapannya, Awang Mohammed Riza menyatakan bahawa kerjaya tentera merupakan satu kerjaya yang dipandang tinggi dan mulia oleh masyarakat, di mana kerjaya itu memerlukan disiplin, komitmen dan pengorbanan yang tinggi demi memastikan keamanan serta kedaulatan negara adalah terpelihara.

“Untuk berupaya menjaga keamanan dan keselamatan negara ini, maka para rekrut sekaliannya telah pun diajarkan ilmu dan kemahiran sebagai seorang tentera,” tekannya.

Jelasnya lagi, “Ilmu dan kemahiran ini juga tidaklah terhad kepada apa yang sudah dipelajari, tetapi adalah diharapkan supaya para rekrut semua untuk sentiasa terus berusaha untuk menimba lebih banyak ilmu pengetahuan secara berterusan di sepanjang perkhidmatan bersama ABDB, bahkan juga di sepanjang hidup ini secara amnya.”