Utamakan kesejahteraan warga emas

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Berikutan negara masih menghadapi pendemik COVID-19, Kementerian Kesihatan berusaha sedaya upaya untuk melindungi kesemua kakitangan kesihatan, yang mana sebahagian mereka terpaksa bekerja secara berkumpulan.

“Menetapkan masa khas untuk warga emas merupakan satu idea yang bagus, namun oleh kerana logistik dan kekurangan kakitangan, kami tidak dapat membuat sedemikian,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengenai persoalan yang dibangkitkan tentang waktu khas bagi warga emas di klinik-klinik dan hospital semasa sesi soal jawab dalam Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Walau bagaimanapun, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, warga-warga emas yang mempunyai masalah kencing manis atau darah tinggi yang terkawal, mereka tidak digalakkan untuk pergi ke hospital pada masa ini.

“Sekiranya ubat mereka habis, beritahu kami dan kami akan memberikan mereka ubat baharu.

“Ia boleh dilakukan di mana-mana termasuk di hospital, klinik-klinik pakar, Gleneagles JPMC atau Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC). Siapa yang sudah stabil, malah untuk pesakit kanser yang stabil, kami tidak mahu mereka keluar cuma untuk menghadiri perjanjian untuk diberitahu bahawa mereka dalam keadaan bagus,” jelas Yang Berhormat Dato.

“Jangan sahaja pesakit tertentu merasa khuatir kerana mereka merasa berlainan, ada perubahan pada dirinya tidak seperti yang normal, maka mereka digalakkan untuk berjumpa dengan doktor,” tambah beliau.

Mengulas persoalan mengenai prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan, Yang Berhormat Dato berkata bahawa ia sangat ketat dan tegas di mana mereka membuat dua ujian sekurang-kurangnya dalam jarak 24 jam berbanding dengan beberapa buah negara hanya membuat sekali sahaja.

“Oleh kerana kes (jangkitan semula atau aktif semula) ini, sekarang kami membuat tiga kali ujian. Ini kerana ujian kami ini sangat sensitif dan sekarang ia menjadi standard di seluruh dunia bagi memastikan seseorang itu dijangkiti.

“Kami memutuskan untuk membuatnya tiga kali ujian dan jika ketiga-tiganya negatif barulah ia (pesakit) dibenarkan pulang. Walaupun tiga kali negatif, mereka juga perlu menjalani pengasingan diri selama 14 hari,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.