Utamakan kesihatan otak elak kecacatan

KECEDERAAN otak traumatik (TBI) adalah masalah perubatan dan kesihatan awam sejagat yang semakin meningkat. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan TBI akan mengatasi penyakit lain sebagai penyebab utama kematian dan kecacatan menjelang 2020.

Ia bukan saja menjejaskan pesakit, malah turut menjadi beban kepada penjaga, anggota keluarga termasuk masyarakat berikutan kesan kecederaan otak menjejaskan fizikal, cara berfikir (kognitif), kemampuan intelek, tingkah laku atau emosi pesakit sama ada sementara atau secara kekal sehingga hilang keupayaan untuk menjaga diri sendiri dan terpaksa bergantung kepada orang di sekeliling. TBI adalah kerosakan otak apabila sel-sel otak musnah atau merosot.

Insiden yang menyumbang kepada TBI adalah pelbagai bentuk trauma kepada otak akibat jatuh, kemalangan kenderaan, keganasan fizikal dan tembakan. Kerosakan otak juga berlaku disebabkan oleh keracunan bahan kimia pada sel saraf (neuron), putus bekalan oksigen (anoksia), kekurangan bekalan oksigen (hipoksia), tumor, jangkitan kuman pada otak dan saluran darah pada otak pecah atau tersumbat (strok).

TBI juga dibahagikan kepada tahap ringan, sederhana dan teruk. Oleh itu, pelbagai bentuk kecederaan otak mengakibatkan gejala yang berlainan apabila pesakit mungkin kehilangan keupayaan untuk bergerak atau hilang ingatan jangka pendek atau hilang keupayaan untuk berinteraksi.

Namun, kebanyakan pesakit TBI tidak menyedari otak mereka mengalami kerosakan berikutan gejala timbul dalam jangka panjang. Malah, kerosakan otak juga sering tidak dapat dikesan menerusi pemeriksaan perubatan sehingga gejala muncul sedikit demi sedikit. Disebabkan itu banyak kes TBI tidak dikenal pasti sehingga ia digelar epidemik senyap.

Kemalangan kenderaan adalah antara beberapa punca kecederaan otak traumatik (TBI).
Kemalangan kenderaan adalah antara beberapa punca kecederaan otak traumatik (TBI).

Rawatan TBI bergantung kepada kecederaan dan mungkin memerlukan intervensi seperti ubatan, pembedahan kecemasan atau pembedahan selepas beberapa tahun mengalami impak cedera. Antara rawatan yang digunakan adalah termasuk terapi fizikal, terapi pertuturan, terapi rekreasi, terapi kerja dan terapi penglihatan.

Tahap kecederaan biasanya berdasarkan kepada tempoh hilang kesedaran atau kadar koma, amnesia postraumatik (PTA) atau hilang ingatan sementara dan keputusan pengimejan otak. TBI yang teruk boleh menyebabkan masalah kesedaran apabila pesakit mungkin mengalami koma iaitu keadaan tidak berjaga dan tidak sedar.

Pesakit yang koma terbaring dengan matanya tertutup dan tidak bertindak balas terhadap persekitarannya, bunyi atau kesakitan. Bagi pesakit yang mengalami semi koma atau keadaan vegetatif, dia berjaga apabila matanya terbuka dan bertindak balas dengan persekitarannya, namun tidak menyedari apa perbuatan yang dilakukannya.

Di samping itu, pesakit TBI akan berdepan dengan pelbagai masalah dalam rutin kehidupan kerana TBI mengganggu cara otak berfungsi dengan normal disebabkan apabila sel-sel saraf dalam otak rosak, ia tidak lagi boleh menghantar maklumat antara satu sama lain dengan cara yang biasa.

Masalah umum yang boleh berlaku selepas TBI akan menjejaskan fungsi fizikal, kognitif dan emosi atau tingkah laku. Ini menyebabkan perubahan dalam tingkah laku dan kebolehan seseorang. Bagaimanapun, kecederaan itu boleh menyebabkan masalah yang berbeza, bergantung kepada bahagian otak yang rosak.

Otak adalah pusat kawalan kepada semua bentuk aktiviti manusia termasuk proses penting seperti bernafas dan bergerak seperti juga berfikir, menilai dan reaksi emosi. Namun, masalah khusus yang akan dihadapi pesakit TBI tidak dapat ditentukan awal kerana masalah akan timbul selepas kecederaan dalam otak sembuh dan ia mungkin mengambil masa berminggu-minggu atau bertahun-tahun.