Utamakan prinsip kesaksamaan jantina selaras standard antarabangsa

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, telah menghadiri Mesyuarat G20 bagi Menteri-menteri Buruh dan Pekerjaan yang diadakan secara maya hari ini, di Bangunan KHEDN, di ibu negara.

Mesyuarat dirasmikan oleh Menteri Buruh dan Polisi Sosial Itali, Tuan Yang Terutama Andrea Orlando. Brunei Darussalam telah dijemput sebagai pengerusi ASEAN untuk tahun 2021 dan mempunyai peluang untuk mengongsikan sebahagian daripada kerja progresif dan bermakna bagi negara-negara anggota ASEAN.

Sebagai pengerusi ASEAN, dalam mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri mengongsikan bahawa negara-negara anggota ASEAN berhasrat untuk mengutamakan prinsip-prinsip kesaksamaan jantina dalam dasar dan amalan buruh dan pekerjaan selaras dengan standard antarabangsa ke arah kesaksamaan jantina dalam dunia pekerjaan dan kerja yang bersesuaian untuk semua.

Yang Berhormat Pehin menambah, “Menteri-menteri buruh ASEAN telah menerima pakai kenyataan mengenai masa depan pekerjaan, yang menekankan niat kolektif untuk meningkatkan standard pendidikan dan latihan untuk memanfaatkan teknologi; meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita dan kumpulan sosial yang terdedah (vulnerable); mempromosikan inisiatif perlindungan sosial negara awam dan swasta yang berkekalan secara fiskal; dan untuk menyokong usaha perwakilan kolektif dan dialog sosial.”

Dalam ucapannya juga pada bulan Jun tahun lalu, ketua-ketua negara ASEAN, dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-36, telah menerima Deklarasi ASEAN tentang Pembangunan Sumber-sumber Manusia untuk Dunia Pekerjaan yang berubah dan Peta Jalannya.

“Deklarasi berpandangan ke hadapan ini menekankan kembali perlunya pembelajaran dan kerjasama sepanjang hayat dengan sektor swasta dan kerjasama antara agensi.

“Ia juga menuntut penciptaan peta jalan pelaksanaan untuk menterjemahkan aspirasi Deklarasi ASEAN ke dalam strategi dan tindakan konkrit yang akan melengkapkan rancangan kerja menteri buruh ASEAN, Mesyuarat Menteri Pendidikan ASEAN, Majlis TVET ASEAN dan badan-badan sektor lain yang relevan ke arah pencapaian Wawasan 2025 ASEAN mengenai Komuniti ASEAN yang berorientasi kepada rakyat selaras dengan tema pengerusi ASEAN (Negara Brunei Darussalam) 2021 We Care, We Prepare, We Prosper,” tambahnya.

Perwakilan-perwakilan dari organisasi antarabangsa menyumbang kepada pertukaran idea, dasar dan amalan baik mengenai kesan pandemik terhadap dunia pekerjaan; OECD, ILO dan World Bank Group mengemukakan kajian terbaharu mereka mengenai kerja jarak jauh, kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap pekerjaan dan kemahiran yang akan menjadi permintaan paling banyak di pasaran buruh berikutan peralihan yang sedang berlaku di dunia pekerjaan.