Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    UTB adakan Majlis Anugerah Cemerlang 2021

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWN, 31 MAC – Universiti Teknologi Brunei (UTB) hari ini telah mengadakan Majlis Anugerah Cemerlang 2021 sempena Majlis Konvokesyen UTB 2021 bagi meraikan kejayaan mahasiswa dan mahasiswi universiti berkenaan.

    Majlis menyaksikan penyampaian 38 anugerah cemerlang, 29 anugerah senarai dekan, enam anugerah ko-kurikular dan empat anugerah People Choice.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan anugerah-anugerah pada majlis yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di ibu negara ialah Menteri Pendidikan dan Pengerusi Majlis UTB, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman. Turut hadir ialah Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein yang juga timbalan pengerusi Majlis UTB.

    Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, dalam keadaan norma baharu di mana wabak COVID memerlukan kakitangan universiti untuk bersabar dan bersedia untuk berubah kepada pengajaran digital dan membawa pembelajaran ke satu tahap yang positif, kreatif dan inovatif, anugerah berkenaan adalah untuk meraikan dan mempromosikan budaya kecemerlangan UTB di mana UTB meningkatkan kedudukan QS Global pada tempat ke-344, QS Asia pada tempat ke-126 dan telah diberi penarafan 5 plus bintang yang sebanding dengan universiti yang berprestij di dunia.

    Katanya lagi, “Ini tidak akan dicapai tanpa komitmen, dedikasi dan kerja keras daripada kakitangan dan pelajar UTB dan diharap ia akan terus membuat perubahan yang signifikan kepada UTB”.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan bergambar ramai bersama penerima Anugerah Cemerlang Pentadbiran bagi Tenaga Bukan Akademik Penghargaan Khas.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut. Turut hadir ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny.

    Anugerah kecemerlangan berkenaan, jelasnya lagi, khas untuk mereka yang menunjukkan kecemerlangan akademik dalam program, ko-kurikular dan bagaimana berkomunikasi dengan orang ramai mengenai projek mereka.

    Untuk julung kalinya juga, jelas Profesor Dr Hajah Zohrah, seorang siswazah diberikan Pingat Canselor iaitu Dayang Rohadatul’ aisy’ Nabilah binti Irwan daripada program Sarjana Muda Perniagaan dalam Pengurusan Teknologi.

    Manakala itu, Pingat Naib Canselor dianugerahkan kepada Awangku Muhammad Wafiy bin Pengiran Haji Amir Isa daripada Sarjana Muda Sains dalam Pengkomputeran dengan Analitik Data.

    Profesor Dr Hajah Zohrah berharap, anugerah yang diterima itu akan menjadikan para penerima sebagai duta UTB dan berharap sebagai duta, mereka akan membawa imej universiti dan terus menjadi individu yang cemerlang dalam semua aspek pekerjaan dan terus memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat.

    Beliau seterusnya berharap, pengiktirafan daripada UTB itu akan memberi motivasi kepada mereka untuk pergi lebih jauh dan akan memberi inspirasi kepada golongan lain untuk mengikutinya.

    Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian anugerah staf cemerlang yang telah diperkenalkan pada 2015 dan ia disambut setiap tahun bagi memberi ganjaran kepada pencapaian cemerlang dan sumbangan yang telah diberikan kepada staf akademik dan bukan akademik ke arah kejayaan UTB.

    Untuk anugerah staf cemerlang berkenaan, setiap penerima membawa pulang plak, sijil pengiktirafan dan wang tunai $1,000 manakala bagi penerima Special Mention menerima sijil.

    Majlis tersebut kemudian menyaksikan penyampaian anugerah senarai dekan, aktiviti pelajar ko-kurikular dan anugerah People Choice yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Tenaga.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...