Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    UTB anjur jerayawara CIPTA 2023

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Jerayawara Pertandingan Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2023 telah diadakan hari ini menerusi platform Zoom.

    Menurut kenyataan dari Universiti Teknologi Brunei (UTB), CIPTA 2023 merupakan edisi ke-10 bagi pertandingan setiap dua tahun yang dianjurkan oleh UTB dengan kerjasama penaja utama, Brunei LNG Sdn Bhd.

    Jerayawara tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai Pertandingan CIPTA 2023 dan merangsang minat orang ramai untuk menyertai pertandingan tersebut.

    Jerayawara tersebut telah dihadiri oleh wakil-wakil universiti, sekolah-sekolah, industri-industri relevan, dan peserta dari negara-negara anggota ASEAN.

    Semasa jerayawara itu, dua ahli Jawatankuasa Teknikal CIPTA 2023, Dr Lim Pang Jen dan Pengiran Dr Rafidah binti Pengiran Petra dan seorang ahli Jawatankuasa Sekretariat CIPTA 2023, Dr Aida Maryam Basri telah membentangkan kepentingan memupuk kreati-viti dan inovasi serta kaitannya dengan pertandingan CIPTA.

    (Dari kiri ke kanan) Dr Lim Pang Jen, Dr Aida Maryam dan Pengiran Dr Rafidah semasa menyertai jerayawara dalam platform Zoom. – Gambar serahan UTB

    Ahli Jawatankuasa Teknikal CIPTA 2023 turut menyampaikan taklimat teknikal mengenai kategori, peraturan dan undang-undang, hadiah dan anugerah, tarikh penting dan proses penghakiman.

    Acara diteruskan lagi dengan sesi soal jawab, diikuti dengan pameran video pemenang projek CIPTA yang lalu di akhir sesi jerayawara dalam talian.

    Dengan tema Inovasi untuk Matlamat Pembangunan Mapan, pertandingan itu mempunyai tiga kategori utama iaitu Kategori Tempatan, Pertandingan Smart Junior dan Kategori ASEAN.

    Bagi Kategori Tempatan, ia menampilkan tiga kategori iaitu Kategori 1: Ciptaan Produk Baharu, Proses atau Teknologi; Kategori 2: Pengubahsuaian Produk Sedia Ada, Proses atau Teknologi; dan Kategori 3: Ciptaan Produk Baharu atau Produk Sedia Ada, Proses atau Teknologi oleh Pencipta Muda.

    Sementara itu, Pertandingan Smart Junior dibuka kepada pelajar sekolah menengah bawah Brunei atau bersamaan dengan Tahun 7 hingga Tahun 9, sementara Kategori ASEAN terdiri daripada dua kategori, iaitu Kategori Ciptaan dan Inovasi Baharu dan Kategori Pencipta Muda.

    Setiap penyertaan akan dinilai berdasarkan kreativiti dan kebaharuan, penggunaan produk akhir, reka bentuk sosial, ekonomi dan lestari, dan laporan serta pembentangan projek. Penilaian projek yang dihantar akan diadakan dalam dua peringkat bermula dengan penilaian awal, dengan penyertaan yang layak dibenarkan memasuki peringkat penilaian akhir.

    Manakala pemenang-pemenang bagi Kategori 1 dan Kategori 2 di bawah Kategori Tempatan akan menerima wang tunai berjumlah $6,000 untuk hadiah pertama; wang tunai $4,000 untuk hadiah kedua; hadiah ketiga pula akan menerima wang tunai $2,000; dan dua hadiah sagu hati berupa wang tunai $500 dan sijil. Setiap pemenang turut akan diberikan trofi dan sijil.

    Bagi pemenang pertama Kategori 3 di bawah Kategori Tempatan berkenaan pula akan menerima wang tunai $3,000, trofi dan sijil; hadiah kedua berupa wang tunai $2,000, trofi dan sijil; dan hadiah Ketiga akan menerima wang tunai $1,000, trofi dan sijil. Wang tunai sebanyak $250 tunai dan sijil pula akan diberikan untuk dua orang penerima hadiah sagu hati.

    Sementara itu, pemenang bagi Pertandingan Smart Junior pula akan menerima hadiah pertama berupa wang tunai $1,000, trofi dan sijil; hadiah kedua bakal menerima wang tunai $800, trofi dan sijil; dan hadiah ketiga akan menerima wang tunai $500, trofi dan sijil; serta wang tunai $200 dan sijil pula dikhusus bagi dua penerima hadiah sagu hati.

    Bagi Kategori ASEAN, para pemenang pertama hingga ketiga di bawah Kategori Ciptaan dan Inovasi Baharu, masing-masing akan menerima wang tunai sebanyak wang tunai $6,000, $4,000 dan $2,000 bersama trofi dan sijil. Wang tunai sebanyak $500 dan sijil turut diberikan kepada dua penerima hadiah sagu hati.

    Manakala pemenang-pemenang Kategori Pencipta Muda bagi Kategori ASEAN pula akan menerima wang tunai $3,000, trofi dan sijil untuk hadiah pertama; hadiah kedua berupa wang tunai $2,000, trofi dan sijil; dan hadiah ketiga bakal membawa pulang wang tunai $1,000, trofi dan sijil; serta dua penerima hadiah sagu hati pula tidak ketinggalan akan diberikan wang tunai $250 dan sijil.

    Oleh yang demikian, pemenang Kategori Tempatan dalam Kategori 1 dan 2, serta Kategori ASEAN iaitu Kategori Ciptaan dan Inovasi Baharu, akan layak bersaing untuk merebut Anugerah Khas Duli Pengiran Muda Mahkota, yang merangkumi hadiah wang tunai $8,000 dan trofi.

    Pertandingan ini merangkumi semua bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan. Ia terbuka kepada semua sekolah, institusi akademik teknikal dan pengajian tinggi, organisasi kerajaan dan swasta serta orang awam.

    Tarikh akhir untuk menyertai CIPTA 2023 ialah 9 Januari 2023.

    Untuk mengetahui maklumat lebih lanjut, orang ramai yang berminat bolehlah memperolehnya dengan melayari laman sesawang http://conference.utb.edu.bn/cipta/.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...