UTB, BSP meterai kontrak penyelidikan

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan UTB

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah menandatangani kontrak penyelidikan selama tiga tahun bagi menyediakan pemodelan berangka dan kemudahan jaring pasir dengan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP).

Kontrak berkenaan adalah untuk menyelidik teknik kawalan dan pengeluaran pasir dari telaga minyak dan gas dengan membangunkan ujian makmal baharu dan simulasi berangka lanjutan, jelas UTB dan BSP dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini.

Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Pengarah Urusan BSP, Dr Ceri M. Powell telah menandatangani perjanjian berkenaan, kelmarin, yang mengiktiraf kemampuan UTB yang semakin pesat dalam penyelidikan kejuruteraan.

Profesor Dr Hajah Zohrah dipetik berkata, ini adalah saat sangat penting bagi sebuah universiti yang muda dan dinamik di mana dengan memberikan kontrak kepada UTB, BSP telah menyatakan keyakinan terhadap kemampuan UTB untuk menyampaikan penyelidikan bertaraf dunia untuk menyelesaikan salah satu cabaran teknikal paling mahal di Brunei.

Kenyataan menjelaskan, pengawalan pasir semasa pengeluaran menjadi salah satu cabaran terbesar yang dihadapi BSP kerana sifat geologi wilayah di Borneo.

Profesor Dr Hajah Zohrah ketika menandatangani kontrak di UTB.
Dr Ceri M. Powell menandatangani kontrak penyelidikan berkenaan secara berasingan di kediamannya.

Ini adalah masalah yang memakan banyak belanja yang dikongsi oleh banyak syarikat tenaga di seluruh dunia.

Semasa pengeluaran hidrokarbon, pasir ditahan daripada memasuki sumur dengan jaring dawai tapi pemilihan jaring terbaik sangat teknikal, perlu dioptimumkan dengan mempertimbangkan banyak faktor dan pemodelan berangka dan simulasi komputer menjadi kunci kejayaan.

Menurut kenyataan itu lagi, UTB bekerjasama dengan Imperial College, London, UK untuk menyediakan analisis matematik dan simulasi komputer 3D, dan bersama University of New South Wales, Australia untuk memba-ngunkan makmal ujian.

Salah satu tujuan projek berkenaan adalah untuk membuat kemudahan ujian jaring pasir komersial di UTB yang menyediakan ujian baharu dan lebih cekap untuk mengenal pasti bagaimana mengurangkan pengeluaran pasir dengan memilih jaring pasir dalam lubang yang tepat.

Manakala itu, Dr Ceri M. Powell dipetik menyatakan, “BSP dengan bangga dapat meneruskan kerjasama dengan UTB dan ia meletakkan universiti di barisan hadapan penyelidikan kritis, inovatif dan digital, yang memungkinkan kemahiran baharu untuk warga Brunei sambil memaksimumkan nilai dengan kemampuan tempatan yang baharu.”

Projek berkenaan akan menawarkan biasiswa kepada lebih 12 orang pelajar tempatan di peringkat Sarjana dan PhD serta melibatkan ramai pelajar sarjana muda kejuruteraan petroleum UTB.

UTB juga perlu merekrut penyelidik dan juruteknik tempatan.