UTB cipta rantaian blok domino terbesar

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Kira-kira 30,000 blok kecil dan beberapa buah buku telah direka dan dibina untuk dijadikan rantaian domino oleh mahasiswa-mahasiswi Universiti Teknologi Brunei (UTB), baru-baru ini sebagai sebahagian daripada projek komunikasi bagi modul ‘Komunikasi Efektif’.

Acara yang diadakan di Dewan Serba Guna, UTB itu dianjurkan oleh Pusat Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran (CCTL), UTB dengan kerjasama Persatuan Bacaan dan Literasi Brunei (RELA) dan The Brunei’s Book of Records.

Hadir pada acara itu ialah pemangku naib canselor UTB selaku tetamu kehormat, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib yang kemudian merasmikan acara itu dengan menumbangkan blok domino pertama.

Turut hadir pada acara tersebut ialah para pegawai utama UTB, pensyarah, kakitangan dan para pelajar serta perwakilan daripada RELA dan The Brunei’s Book of Records.

Seramai 67 mahasiswa UTB dari Fakulti Kejuruteraan, Sekolah Reka Bentuk dan Sekolah Pengkomputeran dan Informatik menghabiskan masa dua hari mendirikan blok-blok domino yang mengambil masa hampir lima minit untuk tumbang sepenuhnya.

Antara pelajar yang terlibat dalam mendirikan rantaian blok domino di Dewan Serba Guna UTB. – Gambar oleh UTB
Tetamu kehormat ketika menyaksikan rantaian blok domino tumbang sepenuhnya.
Antara pelajar yang turut serta menjayakan projek rantaian blok domino itu.

Domino-domino berkenaan diatur dengan penuh menarik dalam bentuk berlingkar, menara, tembok dan piramid yang memaparkan bendera Brunei, logo UTB, RELA dan The Brunei’s Book of Records.

Ia menjadi rantaian blok domino terbesar pertama pernah dibina di Brunei yang direkodkan dalam Brunei’s Book of Records, satu platform bagi warga Brunei menunjukkan keupayaan unik mereka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Inisiatif pembinaan rantaian domino itu adalah untuk mewujudkan sifat berpasukan antara para pelajar termasuk berinteraksi, penyelesaian masalah dan kemahiran komunikasi sepanjang usaha pembinaan projek terbabit.