UTB, ECQ meterai MOU

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Ecquaria Technologies Pte Ltd (ECQ) Singapura telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menzahirkan keinginan dalam mewujudkan rangka kerja bagi kerjasama penghantaran dan pembangunan kurikulum digital kerajaan.

Hadir selaku tetamu kehormat semasa majlis yang berlangsung di Kompleks Perpustakaan UTB pagi tadi ialah ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusuf.

Juga hadir ialah para pegawai dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, para pegawai utama, kakitangan UTB, para pegawai ECQ dan tetamu jemputan.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti ucapan alu-aluan Dekan Sekolah Perkomputeran dan Informatik UTB, Dr Au Thien Wan dan Ketua Pegawai Eksekutif ECQ, Dr Foong Wai Keong.

Menandatangani bagi pihak UTB ialah Pemangku Naib Canselor UTB, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib, manakala Dr Foong Wai Keong menandatangani bagi pihak ECQ sambil disaksikan oleh Dr Au Thein Wan dan Pengarah Inovasi ECQ, Lee Sea Lin.

Sesi bertukar-tukar dokumen di antara UTB dengan ECQ.
Majlis menandatangani MoU di antara UTB dan ECQ yang disaksikan oleh tetamu kehormat.

Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju bahawa sebagai sebahagian daripada sumbangan ECQ, mereka akan menyediakan produk perisian dan perkhidmatan konsultasi yang bernilai kira-kira setengah juta dolar Brunei.

Perisian berkenaan akan dipasang bagi tujuan latihan kepada para pelajar dan kakitangan UTB bagi membolehkan mereka bersedia dalam menggunakan produk perisian berlesen dengan berkesan.

UTB akan menggabungkan produk-produk ECQ terutama Ecquaria Government Platform (EGP) ke dalam kurikulumnya bagi program-program di bawah UTB.

MoU itu juga menandakan keinginan ECQ untuk menyumbang kepada Brunei dengan membantu membina keupayaan IT tempatan sebagai sebahagian daripada strategi digital kerajaan Brunei.

ECQ merupakan pembekal global bagi perisian dan penyelesaian digital kerajaan yang diperbadankan di Singapura dengan memulakan usaha inovasi dan mewujudkan penyelesaian digital ‘citizen-centric’ untuk kerajaan dan juga rakyat.