Oleh Nurdiyanah R. –
Universiti Teknologi Brunei (UTB) kian menjadi universiti pilihan ramai atas prestasi dan pencapaian cemerlangnya.
UTB berhasrat untuk menyediakan pelbagai program pendidikan dan kokurikulum yang luar biasa. Fokusnya bukan hanya dalam bidang akademik bahkan kemahiran dan keyakinan untuk membentuk graduan yang mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan.
Seramai 397 orang bakal graduan disenaraikan dalam Majlis Konvokesyen 2023 yang akan diadakan pada 14 September ini di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Sehubungan dengan itu, ia telah mengadakan Pesta Konvo UTB ke-8 2023 yang berlangsung di Teratak Putih, Fasa 2, UTB, baru-baru ini, telah membawa tema I am Artificial Intelligence and Machine Learning (iAIML): Redefining Tomorrow.
Tema itu merangkumi konsep kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin yang menekankan peranan graduan dalam membentuk dunia pada masa depan. Mereka diharapkan akan menjadi agen positif dalam bidang masing-masing, memberi dorongan kepada perkembangan penyelidikan dan pembangunan dalam iAIML.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Pro-Canselor UTB, telah merasmikan pesta konvo tersebut dan turut menyaksikan pameran yang berkaitan dengan tema iAIML.
Lapan projek keistimewaan tersendiri
Sebanyak lapan buah projek diketengahkan hasil sentuhan istimewa penyelidikan mereka sendiri bertemakan iAIML oleh pelajar di tahun akhir pengajian.
Dayang Hasnanizan binti Haji Mohd Taib, bakal pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam Matematik Gunaan dan Ekonomi, telah mempamerkan projek berjudul Mathematical Optimisation Modelling and Metaheuristics.
Sanford Lim Sen Hui, bakal pemegang Ijazah Sarjana Sains (secara Kerja Kursus) dalam Kejuruteraan Mekanikal, telah menonjolkan projek beliau bertajuk Utilising Digital Image Correlation for Strain Measurement of Materials.
Awang Muhammad Khair Hamizan bin Surzana @ Abdul Khaliq, bakal graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (kepujian) dalam Kejuruteraan Mekanikal, mempamerkan projek bertajuk Design and Fabrication the Upper Limb Rehabilitation Assisted Robot Prototype.
Awang Muhammad Yazeed bin A. Jamil, bakal penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (kepujian) dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Major dalam Kuasa Elektrik), mengemukakan projeknya berjudul Development of a Twelve Degrees of Freedom (12DOF) Hexapod Robot Prototype.
Dayang Nurin ‘Azma Syaheerah binti Zainal Arifin, bakal penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (kepujian) dalam Kejuruteraan Petroleum, mempamerkan projek berjudul Prediction of Grain Size Distribution from Wireline Logs (Machine Learning Aspec).
Bakal penerima Ijazah Sarjana Muda Sains (kepujian) dalam Pengkomputeran dengan Data Analisis, Awang Mohd Muqri Izzuddin bin Haji Md Jamil juga turut berkesempatan mempamerkan projeknya berjudul Your Face Has a Gender: A Study on How Artificial Intelligence is Used to Predict the Gender of Southeast Asian People.
Sementara itu, projek berkisar tajuk Protecting ASEAN’s Peatlands: Machine Learning for Modelling Peat Groundwater Level and Peat Fire Occurrences, telah ditampilkan oleh Awang Fuad bin Haji Hussain selaku bakal penerima Ijazah Sarjana Muda Sains (kepujian) dalam Pengkomputeran dengan Data Analisis.
Begitu juga sebagai bakal pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (kepujian) dalam Reka Bentuk Produk, Awang Mohamad Harun bin Abdul Khalid telah menonjolkan hasil projeknya bertajuk Benchable: A Sustainable and Transformative Bench.
UTB miliki hampir 60 kelab ko-kurikulum
UTB semakin giat mengadakan pelbagai kegiatan ko-kurikulum untuk pelajar-pelajarnya.
Kini UTB mempunyai 57 kelab ko-kurikulum yang menggalakkan penglibatan pelajar secara aktif. Aktiviti itu merangkumi nilai-nilai kepimpinan dan pembangunan kemahiran diri
seperti kerja berpasukan dan komunikasi.
Dalam pada itu, pesta konvo itu turut disemarakkan dengan persembahan pelajar-pelajar dari kelab-kelab pelajar universiti yang merangkumi seni mempertahankan diri, tausyeh dan pelbagai aktiviti lain yang diadakan di luar bangunan.
Pelancaran Makmal AI Shell
Pesta konvokesyen itu menjadi lebih menarik dengan perasmian Makmal AI Shell yang ditaja oleh Shell Deepwater Borneo, sempena 90 tahun sejarah Shell di Brunei Darussalam pada tahun 2019.
Pembinaan makmal tersebut bertujuan dapat melengkapi generasi masa depan dengan kemahiran penting untuk menavigasi dan membentuk masa depan.
Dengan adanya makmal AI di UTB, impak yang dihasilkan adalah sangat signifikan. Ia akan mendorong penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai bidang, termasuk Pembangunan Ekonomi, Pendidikan, Seni Pertahanan Diri, Pertanian, Pengangkutan, Keselamatan Siber, Penjagaan Kesihatan dan Perkhidmatan Sosial.