UTB jalin kerjasama dengan MPK

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Selaras dengan matlamat utamanya untuk menjadi universiti global yang memberi impak kepada masyarakat, Universiti Teknologi Brunei (UTB) bekerjasama dengan Majlis Perundingan Kampung Tungku Katok (MPK) bagi projek pembinaan gerai.

Sehubungan itu, majlis bagi menandakan kerjasama bagi Projek Gerai Tang Salangan itu telah diadakan di Simpang 239, Jalan Tungku, pada 7 Jun lalu.

Hadir pada majlis ialah Ketua Kampung Tungku Katok, Haji Ismail bin Haji Rajab; Penasihat Projek MPK, Dato Paduka Haji Alikhan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof; dan Setiausaha MPK, Haji Salleh bin Mahmud.

Manakala itu, delegasi dari UTB diketuai oleh Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman. Turut hadir ialah Penolong Naib Canselor (Industri dan Perkhidmatan), Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib dan Dekan Sekolah Reka Bentuk, Dr Ahmad Syamaizar bin Haji Sabli serta Penolong Profesor, Dr Zulkefle bin Ismail.

Menurut kenyataan yang diberikan, sebelum majlis berlangsung, kedua-dua belah pihak telah membincangkan mengenai konsep reka bentuk bagi projek gerai berkenaan dan usaha sama UTB dan MPK Tungku Katok pada masa hadapan.

MPK Tungku Katok bercadang untuk menyediakan 1 ekar bagi Gerai Tang Salangan yang antara lain akan menempatkan produk-produk MPK.

Kenyataan menyatakan, pelajar dan staf dari Sekolah Reka Bentuk telah dijemput oleh MPK Tungku Katok pada Februari lalu untuk memberikan beberapa cadangan mengenai konsep reka bentuk Gerai Tang Salangan. Tujuannya adalah bagi memilih reka bentuk yang paling sesuai untuk dibangunkan dalam kawasan yang dicadangkan.

Penyerahan sijil bagi menandakan kerjasama UTB dengan MPK Tungku Katok. – Gambar serahan UTB