UTB johan Piala Universiti edisi ke-2

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Universiti Teknologi Brunei (UTB) kembali bangkit daripada kedudukan tercorot dan meraih kejuaraan di kejohanan pool Piala Universiti edisi ke-2 bagi tahun 2020 selepas menewaskan Universiti Brunei Darussalam (UBD) 2-1 dalam perlawanan akhir di Master Alim Pool Cafe Brunei minggu lalu.

Pada kejohanan tahun lalu, UTB berada di tempat kelima di mana Politeknik Brunei sebagai juara, diikuti oleh UBD sebagai naib juara, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di tempat ketiga dan Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS) di tempat keempat.

Awangku Mohammad Fauzi membantu UBD meraih satu mata setelah memenangi perlawanan perseorangan 9-ball dengan keputusan 7-3 menentang Mohammadd Sallehin dari UTB manakala Awangku Mohammad Asyraf memenangi perlawanan perseorangan 8-ball, 7-1 ke atas Juhan.

Di dalam kategori beregu 9-ball, Mohamad Tadjul Ariffin dan Mohammad Najib dari UTB berjaya menewaskan Haji Mohammad Ramli dan Chen Sheng 7-3.

UNISSA mempertahankan kedudukan mereka dari tahun lalu di tempat ketiga selepas mereka berjaya menumpaskan Politeknik Brunei ‘B’, 2-1.

Juara Piala Universiti edisi ke-2 tahun 2020, UTB bergambar bersama trofi dan pingat kejuaraan. – Gambar oleh Master Alim Pool Brunei

Mohammad Adib Suimi dari UNISSA menang 7-1 menentang Mohammad Syukrin dalam perlawanan perseorangan 9-ball dan Mohammad Hadi Ikram meraih satu lagi mata selepas kemenangan 7-3 ke atas Mohammad Khairulamirin dalam perlawanan perseorangan 8-ball.

Di pusingan kalah mati, UNISSA sebagai juara bagi Kumpulan A diikuti dengan Politeknik Brunei ‘B’ selaku naib juara. Sementara itu dalam Kumpulan B, UTB muncul sebagai juara manakala UBD berada di tempat kedua.

Kejohanan ini dimulakan dengan pusingan dalam format round robin pada 25 Februari.

Tujuh pasukan ikut bertanding dalam acara berpasukan termasuk Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (CCCT) dan Politeknik Brunei ‘A’.

Setiap pasukan terdiri daripada lima pemain termasuk satu dalam kategori 9-ball, satu dalam 8-ball dan dua pemain dalam kategori beregu 9-ball dan seorang pemain gantian.

Hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Setiausaha Agung Persatuan Sukan Cue Brunei Darussalam (BCSA), Pengiran Mohammad Saiful Azri bin Pengiran Roslee.

Kejohanan ini dianjurkan oleh Master Alim Pool Brunei dan disokong oleh BCSA, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.