UTB kaji keberkesanan Pembelajaran online

Oleh AK Zaki Kasharan

Gambar oleh Muiz Matdani

Ketika seluruh negara di dunia ini bergelut memerangi wabak COVID-19 yang mula dikesan seawal bulan Disember tahun lalu, pelbagai aktiviti dan kegiatan yang biasanya dilakukan dalam rutin harian sedikit sebanyak berubah semata-mata untuk mengurangkan risiko jangkitan penularan wabak tersebut yang kini telah mengorbankan lebih sejuta nyawa di seluruh dunia.

Salah satu aktiviti yang terjejas disebabkan penularan COVID-19 di negara ini ialah sistem pengajaran dan pembelajaran di semua peringkat sama ada di peringkat rendah, menengah, tinggi mahupun di peringkat universiti.

Pelbagai usaha dilakukan bagi membendung penularan COVID-19 ini termasuklah penangguhan sesi pembelajaran dan pengajaran di sekolah-sekolah serta di universiti-universiti. Walau bagaimanapun beberapa kaedah pengajaran dan pembelajaran telah dikenal pasti bagi membolehkan sesi pembelajaran dapat dijalankan meskipun tanpa harus berada di sekolah atau universiti masing-masing.

Sebaliknya para pelajar dan guru serta pensyarah mereka masih dapat berhubung menggunakan kecanggihan teknologi masa kini yang mana membantu mereka untuk tetap menerima ilmu meskipun pada masa yang sungguh mencabar ini. Secara tidak langsung dengan pengadaptasian sistem pembelajaran dan pengajaran dari rumah, ia merupakan satu tindakan bagi menyahut saranan penjarakan sosial yang sangat diperlukan pada masa ini bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19 walau di mana pun keberadaan seseorang itu.

Di Universiti Teknologi Brunei (UTB), mereka telah memperkenalkan beberapa kaedah pembelajaran yang digunakan oleh para pensyarah dan mahasiswa di universiti berkenaan untuk meneruskan pembelajaran mereka seperti biasanya.

Pelajar institusi pengajian tinggi kini sedang mengadaptasi pembelajaran secara dalam talian, di mana pelbagai kaedah boleh digunakan untuk mereka meneruskan pembelajaran mereka ketika dunia sedang berdepan dengan penularan COVID-19. – Bernama

Terdapat sebilangan pelajar berdepan dengan kesukaran dari segi sambungan internet yang sedikit sebanyak memberi cabaran kepada mereka untuk mengikuti pembelajaran secara online.

Antara aplikasi yang digunakan di UTB termasuklah Learning Management System (MOODLE), Microsoft Teams, Zoom dan juga Skype di samping beberapa platform lain lagi yang digunakan dalam proses pembelajaran mereka.

Sehubungan dengan itu, pada 14 Mac hingga 17 Mac 2020 yang lalu, satu kaji selidik telah dijalankan oleh sekumpulan pensyarah di UTB mengenai tahap keberkesanan pembelajaran secara dalam talian dan reaksi secara langsung pengalaman serta tahap kepuasan dan cabaran yang dihadapi oleh pelajar dalam menggunakan sistem pembelajaran secara dalam talian.

Hasil kaji selidik

Sebanyak 670 kaji selidik telah berjaya dikumpulkan, mewakili 45 peratus daripada keseluruhan jumlah keseluruhan mahasiswa UTB yang dikira cukup bagi menyimpulkan keseluruhan gambaran reaksi daripada mahasiswa di sana.

Daripada 670 responden, majoriti iaitu sebanyak 64 peratus daripada mereka menggunakan MOODLE, 61 peratus menggunakan Microsoft Teams, dan 40 peratus lagi daripada keseluruhan responden menggunakan Zoom.

Manakala itu, 22 peratus daripada mereka menggunakan Skype, empat peratus lagi menggunakan Google Hangout dan sembilan peratus menggunakan teknologi dalam talian yang lain.

Sementara itu, dari segi respons dalam pembelajaran online, 88 peratus daripada mereka mengatakan ia sangat berbaloi, 90 peratus menganggapnya aman dan selamat, 69 peratus berpendapat ia menyenangkan dan 77 peratus daripada mereka merasakannya ia menggembirakan.

Sementara itu 72 peratus merasakannya memberikan semangat, 66 peratus mengatakannya responsif dan 67 peratus lagi sangat menanti-nantikan untuk belajar secara dalam talian.

Walaupun secara keseluruhannya para mahasiswa berpuas hati dengan mutu dan kualiti penyiaran audio, video, slaid pembentangan dan perkongsian yang diberikan, terdapat juga sebilangan mahasiswa yang menghadapi cabaran dan turut memperlihatkan beberapa kebimbangan.

Sebanyak 35 peratus responden tidak berpuas hati dengan lebar jalur internet disebabkan kualiti sambungan yang tidak begitu baik, perbelanjaan sambungan internet yang tinggi dan kesiapsiagaan pensyarah dan mahasiswa bagi pembelajaran online.

Namun masalah berkenaan sudah semestinya tidak akan berkekalan dan dapat diperbaiki pada masa yang akan datang, di mana para pensyarah dan mahasiswa sudah semestinya akan dapat mempersiapkan diri mereka sama ada secara mental dan teknikal. Begitu juga masalahnya dengan isu sambungan yang sudah pastinya dapat dipertingkatkan pada masa yang akan datang.

Berdasarkan keputusan kaji selidik yang dijalankan itu, dapatlah disimpulkan bahawa para mahasiswa lebih memilih untuk menggabungkan sistem pembelajaran berbanding secara dalam talian secara keseluruhannya namun disebabkan keadaan negara yang bergelut dengan penularan wabak COVID-19, pembelajaran dan pengajaran dengan menggunakan teknologi terkini harus digunakan dengan sebaiknya.

Teknologi tidak dapat dinafikan sememangnya memainkan peranan yang cukup kuat dalam kehidupan para pelajar dan institusi pada masa ini dan sudah semestinya mereka tidak boleh hanya bergantung terhadap pembelajaran secara classroom-based semata-mata.