Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    UTB komited lengkapi graduan dengan teknologi berkualiti

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Sebagai sebuah universiti teknologi unggul di Negara Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei (UTB) amat komited untuk menyediakan pendidikan teknologi berkualiti dan melengkapkan serta membangunkan graduan yang bersedia untuk masa hadapan serta relevan kepada industri selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

    UTB telah membuktikan keupayaannya untuk memberikan impak positif dan menjana perubahan signifikan dalam pendidikan tinggi apabila ia telah dianugerahkan rating 5-Plus Star bagi kecemerlangan oleh Quacquarelli Symonds (QS).

    Anugerah itu mengiktiraf universiti berkenaan sebagai destinasi elit bagi pelajar dan fakulti terbaik dari serata dunia serta mengiktiraf UTB dalam kecemerlangan penyelidikan, kualiti dalam pengajaran, pengalaman globalisasi bagi pelajar dan keupayaan untuk memupuk bakat pelajar.

    Perkara itu dinyatakan oleh Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil UTB-SP Bridging Program in Computing (BriCOMP) yang berlangsung di Kolej Antarabangsa Micronet (MIC), Kampus Jerudong, kelmarin. Mengulas mengenai BriCOMP, beliau menerangkan bahawa program itu merupakan salah satu daripada Program Penghubung UTB-SP yang menyediakan laluan alternatif bagi kemasukan ke dalam universiti dan inisiatif untuk meningkatkan kumpulan pelajar berkelayakan untuk melanjutkan pengajian mereka di UTB.

    Profesor Dr Hajah Zohrah berkata berikutan kejayaan penandatanganan memorandum persefahaman di antara UTB dan MIC bagi Program Penghubung UTB-Satellite Partner pada 2020, UTB telah menerima dua kohort pelajar yang berjaya memasuki program di UTB di bawah School of Computing and Infomatics di UTB. Program 14 minggu itu, jelasnya, menyokong para pemohon melalui melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan asas, kemahiran dan pendedahan supaya mereka dapat melanjutkan pengajian ijazah pengkomputeran mereka di UTB.

    Majlis kemudian menyaksikan Profesor Dr Hajah Zohrah menyempurnakan penyampaian sijil kepada pelajar-pelajar BriCOMP pengambilan kedua. Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pengurus Besar MIC, Sharon Chin, Ketua Pegawai Eksekutif MIC, Sylvester Yong serta pegawai-pegawai utama dari UTB dan kakitangan MIC.

    Program Penghubung dalam Pengkomputeran (BriCOMP) merupakan program 14 minggu yang merupakan sebuah laluan kemasukan ijazah muda untuk pelajar-pelajar lepasan A-Level yang kurang mata minimum bagi kemasukan kepada program ijazah muda pengkomputeran di UTB.

    Oleh itu, program itu bermatlamat untuk menyediakan para pelajar dengan ilmu pengetahuan asas dan kemahiran dalam pembelajaran bidang pengkomputeran. Pengambilan seterusnya bagi program BriCOMP akan bermula pada 21 Mac nanti.

    Profesor Dr Hajah Zohrah semasa menyampaikan sijil kepada para pelajar Program BriCOMP pengambilan kedua yang berjaya menamatkan program berkenaan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...