UTB lakar sejarah

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah berjaya meraih kedudukan 400 teratas dan berdiri di tangga ke-379 di Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (QSWUR).

Kedudukan UTB meningkat 63 anak tangga dari posisi 442 dari tahun lepas, yang mana ia merupakan suatu pencapaian terpenting bagi sebuah universiti yang masih muda, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UTB, di sini, hari ini. Kenyataan menyatakan, antara universiti lain yang juga berada di tangga 400 teratas termasuk University of Kent, University of Essex dan Oxford Brookes University di United Kingdom; University of Kansas dan University of Massachusetts Amherst di Amerika Syarikat; Lincoln University di New Zealand; Hiroshima University di Jepun; Mahidol University di Thailand dan lainnya.

Penilaian QSWUR adalah berdasarkan reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah fakulti pelajar, petikan penerbitan bagi setiap ahli fakulti, nisbah fakulti antarabangsa dan nisbah pelajar-pelajar antarabangsa.

Bagi QSWUR Edisi 2020, UTB telah dinilai bersama institusi-institusi antarabangsa termasyhur di seluruh dunia.

Sebanyak 1, 620 buah institusi dari 82 buah negara yang memenuhi kriteria dan layak untuk dimasukkan ke dalam senarai, hanya 1, 001 institusi sahaja yang diterbitkan dalam QSWUR 2020 pada tahun ini.

UTB melalui Nisbah Fakulti Pelajar berada di tangga ke-108 dengan peningkatan 50 anak tangga dari tahun lepas.

Daripada keputusan menyeluruh, UTB adalah antara 36 peratus teratas dalam QSWUR. Daripada penilaian tersebut, UTB menunjukkan keputusan yang sangat baik dalam Nisbah Fakulti Pelajar dengan berada di tangga ke-108 dengan peningkatan 50 anak tangga dari tahun lepas.

Pada posisi ke-77 di dunia, penilaian Fakulti Antarabangsa kekal sebagai penanda yang tertinggi bagi UTB.

Ini membuktikan komitmen yang berterusan ke arah pengajaran yang berkualiti tinggi dan berdimensi antarabangsa.

Selain dari itu, antara penunjuk lain yang turut menyumbang dalam penambahbaikan kedudukan UTB pada tahun ini termasuk reputasi akademik dan petikan penerbitan bagi setiap ahli fakulti yang mana ia menunjukkan peningkatan yang ketara dari segi jumlah.

Di Asia, UTB adalah antara universiti di tangga 200 teratas. Dalam edisi 2019 QS Asia University Rankings, kedudukan UTB adalah di tangga 181 iaitu 36 peratus teratas antara 500 institusi di seluruh benua.

UTB juga adalah satu-satunya universiti yang diberikan penilaian lima bintang oleh QS di negara ini.

Walaupun telah menunjukkan kemampuannya, kenyataan menekankan bahawa UTB akan terus mengekalkan momentum dan berusaha untuk mencapai visinya menjadi sebuah universiti global yang memberi keberkesanan kepada masyarakat.

Dengan pencapaian ini juga, tambah kenyataan, UTB berada di landasan yang tepat untuk menjadi sebuah universiti berkaliber antarabangsa pada masa yang sama menarik pelajar dan cendekiawan-cendekiawan dari dalam dan luar negara.

QSWUR adalah penerbitan tahunan kedudukan universiti oleh QS dan menjadi sebagai salah satu daripada tiga rujukan utama bagi kedudukan universiti-universiti di seluruh dunia bersama Academic Ranking of World Universities dan Times Higher Education World University Rankings.