UTB manfaatkan kerjasama China-ASEAN dalam industri 4.0

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah menjadi ahli kepada Perikatan Penyelidikan Universiti-Industri Data Besar China-ASEAN bersama universiti-universiti dan industri berprestij yang lain dari China dan lima buah negara ASEAN.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UTB hari ini, perikatan berkenaan telah diumumkan dan dilancarkan semasa 2021 China-ASEAN University (Country and Regional Studies) Think-Tank Network Forum.

Kenyataan menerangkan bahawa perikatan itu bertujuan untuk mempromosikan perkongsian ilmu pengetahuan, penyelidikan bersama dan pembangunan data besar China-ASEAN di mana ia dimulakan bersama oleh Universiti Guangxi dan Institut Penyelidikan Data Besar Pelabuhan Maklumat China-ASEAN.

Terdahulu daripada acara itu, satu perjanjian telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman bagi UTB untuk menyertai perikatan berkenaan bersama-sama universiti dan wakil industri dari Kemboja, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan China. Perikatan itu berobjektif untuk menubuhkan sebuah kampus ASEAN bagi platform data besar (big data) yang membolehkan penyelidik-penyelidik untuk menangani isu-isu berkaitan dengan analisis data besar dalam industri 4.0.

Di samping itu, ia mempunyai matlamat untuk mengukuhkan pertukaran dan kerjasama antara perusahaan, institusi penyelidikan saintifik dan universiti-universiti penyelidikan data besar negara-negara ASEAN dan China.

Lebih 180 orang pakar, organisasi antarabangsa, wakil pemikir universiti dari China, Thailand, Singapura, Denmark, Laos, Vietnam, Malaysia dan Kemboja menghadiri forum berkenaan serta menyaksikan pelancaran Perikatan Penyelidikan Universiti-Industri Data Besar China-ASEAN. Kenyataan menyatakan bahawa mewakili UTB dalam acara berkenaan ialah Pengarah Pejabat Pembangunan dan Perancangan, Dr Lim Tiong Hoo.

Majlis pelancaran berkenaan didahului dengan mesyuarat lembaga di mana jawatankuasa majlis, sekretariat, pakar dan profesional telah ditubuhkan. Semasa mesyuarat itu, Institut Penyelidikan Data Besar Pelabuhan Maklumat China-ASEAN dan Universiti Suan Dusit, Thailand telah dilantik sebagai pengerusi bersama bagi majlis perikatan berkenaan. Kenyataan menyatakan lanjut bahawa kumpulan pertama ahli-ahli unit datang dari enam buah negara yang merangkumi Kemboja, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan UTB yang mewakili Negara Brunei Darussalam dan diikuti oleh 14 perusahaan serta institusi termasuk China Mobile, Huawei, iFlytek dan Digital Guangxi.

Dr Lim Tiong Hoo semasa menghadiri forum dan pelancaran Perikatan Penyelidikan Universiti-Industri Data Besar China-ASEAN bersama beberapa pakar, organisasi antarabangsa dan wakil pemikir universiti dari negara ASEAN. – Gambar serahan UTB