UTB meriahkan Ramadan

Oleh Rafidah Jumat
Gambar serahan UTB

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Brunei (MPPUTB) 2020/2021 dan EXCO Projek dan Khidmat Komuniti UTB untuk tahun ketiga berturut-turut telah menganjurkan kempen amal Ramadan Drive 3.0 sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memeriahkan bulan Ramadan.

Kempen amal berkenaan turut mendapat sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan juga Sukarelawan Belia, menurut kenyataan yang dikeluarkan UTB.

Melalui kempen amal yang bermula 16 Mei lalu hingga hari ini itu, sebanyak 12 buah keluarga daripada golongan kurang bernasib baik terutamanya warga emas di seluruh negara menerima sumbangan.

Berikutan wabak Covid-19, rombongan pengagihan sumbangan ke rumah-rumah yang diketuai Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dayangku Ida Nurul-Fitri binti Pengiran Haji Kahar bersama kakitangan dan pelajar universiti telah mempraktikkan penjarakan sosial dan fizikal, selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan.

Bermula 30 April, sejumlah $3,139.01 dan barangan dalam bentuk lain seperti keperluan harian dan bekalan makanan asas, peralatan pembersihan dan peralatan mandian diterima daripada kakitangan dan pelajar universiti untuk disumbangkan kepada keluarga memerlukan.

Selain Ramadan Drive 3.0, pihak universiti juga memulakan dana khas untuk membantu para pelajarnya semasa pandemik ini.

Dana berkenaan adalah untuk membantu pelajar kurang berkemampuan yang menghadapi cabaran kewangan dengan pembelajaran dalam talian sejak dimulakan pada 16 Mac lalu sebagai sebahagian daripada usaha universiti untuk membendung penyebaran koronavirus.

Sebanyak $3,705 telah dikumpulkan dan diberikan kepada 94 penerima.

Dayangku Ida Nurul-Fitri menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima di Daerah Temburong.
Dayangku Ida Nurul-Fitri bergambar ramai bersama salah seorang penerima.