UTB meterai MoU dengan Kem. Pembangunan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Julai – Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Kementerian Pembangunan telah meningkatkan lagi hubungan perkongsian dengan penandatanganan satu lagi memorandum persefahaman (MoU) pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna, UTB, hari ini.

Hadir menyaksikan penandatanganan berkenaan selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Pemangku Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar; Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Datin Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan bin Haji Abdul Razak.

Menandatangani bagi pihak UTB ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman yang disaksikan oleh Penolong Naib Canselor UTB, Dr. Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh.

Manakala itu, Kementerian Pembangunan diwakili oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) dengan disaksikan oleh Pemangku Ketua Pengurusan Sumber Manusia, Hajah Norshukorinah binti Haji Mohd Daud.

Yang Berhormat Pehin menyaksikan penyerahan dokumen antara Professor Dr. Hajah Zohrah dan Dr. Dayang Nor Imtihan selepas Majlis Penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU).
Yang Berhormat Pehin menyaksikan penyerahan dokumen antara Professor Dr. Hajah Zohrah dan Dr. Dayang Nor Imtihan selepas Majlis Penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU).
Antara yang hadir pada majlis tersebut.
Antara yang hadir pada majlis tersebut.

Profesor Dr. Hajah Zohrah dalam ucapannya menyatakan, MoU di antara kedua-dua belah pihak berkenaan telah ditandatangani buat kali pertama pada 20 Mei yang lalu.

“Kami meningkatkan lagi MoU hari ini dengan mengembangkan lagi skop kerja dan kerjasama di dalam MoU dan ini termasuk pendidikan pascasiswazah, penyelidikan bersama, pembinaan kapasiti, latihan kerja dan berkongsi maklumat dan sumber-sumber,” jelasnya.

Majlis penandatanganan berkenaan turut diselajurkan dengan penyampaian Anugerah Kakitangan Cemerlang 2017 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin dan juga Sambutan Hari Raya.

Anugerah itu bertujuan untuk memberikan penghargaan dan menunjukkan rasa terima kasih kepada kakitangan yang telah memberikan sokongan dan dorongan kepada kejayaan UTB.

Seramai enam orang kakitangan telah menerima anugerah berkenaan tahun ini dan lima orang lagi menerima Anugerah ‘Special Mention’.

Para penerima Anugerah Kakitangan Cemerlang masing-masing mendapat plak penghargaan, sijil dan juga wang tunai $1,000 manakala itu, penerima Anugerah ‘Special Mention’ menerima sijil penghargaan.