UTB naik 44 tangga dalam QSWUR:Asia

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah naik 44 anak tangga pada kedudukan ke-137 daripada 181 sebelumnya dalam 2020 Quacquarelli Symonds World University Rankings (QSWUR): Asia yang baru diterbitkan.

Menurut kenyataan UTB, hari ini, sebanyak 557 institusi telah disenaraikan dalam ranking tahun ini yang mana QSWUR: Asia mengetengahkan universiti-universiti terkemuka di Asia setiap tahun sejak 2009.

Pencapaian itu, tambah kenyataan, adalah berdasarkan metodologi serupa yang digunakan oleh QSWUR, tetapi dengan beberapa penunjuk tambahan dan wajaran yang disesuaikan.

Penilaian QSWUR: Asia didasarkan kepada 11 petunjuk yang terdiri daripada reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah fakulti-pelajar, kakitangan yang memiliki kedoktoran falsafah, petikan penerbitan bagi setiap kertas penyelidikan, jumlah kertas penyelidikan bagi setiap fakulti, rangkaian penyelidikan antarabangsa, fakulti antarabangsa, pelajar antarabangsa, pelajar pertukaran masuk, dan pelajar pertukaran keluar.

Hasil keseluruhannya menunjukkan UTB berada di antara kedudukan 25 peratus teratas. Keputusan juga menunjukkan bahawa UTB telah mencapai kemajuan yang besar dalam enam kriteria iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah fakulti-pelajar, petikan penerbitan bagi setiap kertas penyelidikan, pelajar pertukaran masuk dan pelajar pertukaran keluar.

Pencapaian ini berikutan pencapaian yang luar biasa pada bulan Jun tahun ini di mana UTB berada di kedudukan 379 di peringkat global berdasarkan QSWUR 2020 yang mana UTB juga merupakan satu-satunya universiti di negara ini yang diberi nilai lima bintang oleh QS.

Selain itu, mengikut pelan strategik lima tahun 2019-2023, UTB juga meletakkan fokusnya pada empat bidang strategik iaitu pendidikan berkualiti, pelajar yang mandiri, penyelidikan translasi dan quadruple helix engagement.

Keberkesanan dalam melaksanakan inisiatif di bawah setiap bidang strategik tersebut dalam tempoh lima tahun akan menyaksikan universiti meningkatkan taraf globalnya di samping memberi impak dan sumbangan yang kuat kepada sumber manusia dan keupayaan industri.

Pensyarah UTB menjelaskan mengenai peralatan yang terdapat di UTB.