Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Sekolah Reka Bentuk (SDe) Universiti Teknologi Brunei (UTB) pada ketika ini sedang menganjurkan Pameran Program Seni Bina – Pameran Industri yang diadakan selama empat hari hingga 7 Julai di Galeri Pameran SDe, UTB yang dibukakan untuk kunjungan orang ramai.
Pameran tahunan berkenaan telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman selaku tetamu kehormat majlis yang kemudiannya melawat 30 projek pelajar kreatif dan inovatif Tahun 3 yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains (BSc) dalam Seni Bina mengenai Tang Salangan. Menurut kenyataan UTB, Tang Salangan merupakan projek bersama antara UTB dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tungku Katok yang terletak di Simpang 239, Kampung Tungku Katok.
Tapak berkenaan terlibat dalam dua projek yang dicadangkan sebagai Projek untuk Komuniti di Brunei Darussalam iaitu The Eco-Campus 2022 dan Agro-Market pada 2021.
Projek-projek tersebut dibahagikan kepada dua peringkat iaitu pra-reka bentuk dan reka bentuk skematik. Semasa peringkat pertama, pelajar menyiasat tapak projek, mengambil gambar dan mendokumentasikan konteks dan persekitaran semula jadinya.
Mereka kemudiannya mencambahkan idea untuk meneroka Eco-Campus dan Agro-Market berdasarkan tapak dan keperluan pengguna.