UTB promosi program baharu pengajian

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan UTB

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Berikutan dengan Ekspo Maya Pengajian Tinggi 2021, Universiti Teknologi Brunei (UTB) mengadakan Hari Terbuka UTB bagi memberikan peluang kepada pelajar-pelajar yang berminat untuk berinteraksi secara langsung dengan pensyarah dan kakitangan universiti serta untuk mendapatkan pandangan lebih mendalam mengenai program-program ijazah, pasca graduan dan penghubung UTB.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UTB, di sini, hari ini, Hari Terbuka UTB berlangsung di Dewan Serba guna UTB di mana ia juga disertai bersama oleh rakan kongsi satelit UTB dari Kolej Antarabangsa Micronet, Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) dan Institut Kemuda.

Kenyataan menyatakan bahawa hari terbuka itu memberikan peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dan jelas mengenai lima program baharu UTB iaitu Sarjana Muda Sains (BSc) dalam Rekaan dan Teknologi Fesyen, BSc dalam Agroteknologi (minor dalam Perniagaan), BSc dalam Matematik Kewangan, BSc dalam Perhubungan dan Sarjana Sains (kerja kursus) dalam Perhubungan (sepenuh masa dan separuh masa).

Pada tahun ini, UTB juga memendekkan tempoh bagi program-program ijazah sarjana muda di bawah School of Business, School of Computing and Informatics, School of Applied Sciences and Mathematics, School of Design and Centre for Communication, Teaching and Learning daripada empat tahun kepada tiga tahun sahaja.

Para pensyarah di UTB memberikan penerangan kepada pelajar dan ibu bapa mereka mengenai prospek pengajian di universiti itu.
Kakitangan UTB membantu pelajar dan ibu bapa mereka menghadiri Hari Terbuka UTB.