UTB, RTB meterai MoU bidang media kreatif

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Radio Televisyen Brunei (RTB) telah merasmikan kerjasama dalam bidang media kreatif menerusi penandatanganan memorandum persefahaman (MoU).

Majlis penandatanganan MoU berkenaan telah diadakan di Lecture Theatre 2, Kompleks Perpustakaan, UTB, hari ini.

Timbalan Setiausaha Tetap (Perkhidmatan Awam, Kesejahteraan, Antarabangsa dan Media) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu dalam ucapannya berkata, MoU berkenaan merupakan satu pencapaian bagi RTB melangkah maju ke hadapan dalam era melangkaui penyiaran digital tradisional melalui jalinan kerjasama dengan institusi tinggi pendidikan.

Bidang kerjasama ini, jelas beliau, akan menjangkau beberapa inisiatif strategik antaranya program penempatan kerja dalam bidang media penyiaran serta penerbitan rancangan yang boleh menjadi perisian kepada saluran televisyen.

Beliau seterusnya berkata, MoU itu dihasratkan untuk mengembangkan lagi skop kerjasama melalui penerokaan peluang-peluang baharu dengan meliputi pembangunan kapasiti, pengoptimuman teknologi media, perkongsian maklumat dan idea dalam bidang penyiaran bersama serta penyelidikan dalam bidang teknologi media dan penyiaran serta audiens.

Majlis penandatanganan memorandum persefahaman di antara Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan Radio Televisyen Brunei (RTB).
Para jemputan yang menghadiri majlis itu.

Jelas beliau lagi, MoU akan memberikan tumpuan kepada dua skop atau bidang kerjasama yang telah dikenal pasti iaitu Program Penempatan Industri Pelajar dan Aktiviti Berasaskan Projek.

Kedua-dua skop berkenaan, ujar beliau, akan dapat memberikan impak yang positif bagi para pelajar atau para graduan membina portfolio masing-masing dalam meningkatkan kemahiran berdasarkan kompetensi industri dan seterusnya berpeluang untuk menerajui atau menceburi bidang keusahawanan kreatif di Negara Brunei Darussalam.

Ini juga merupakan salah satu inisiatif dalam sama-sama merealisasikan ketiga-tiga matlamat Wawasan Brunei 2035 dengan mendokong pendekatan Whole of Government, Whole of Nation Approach dan Whole of Life Approach.

Menandatangani MoU bagi pihak UTB ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dengan disaksikan oleh Dekan Sekolah Pengkomputeran dan Informatik, Dr Saiful Omar.

Manakala itu, RTB diwakili oleh Haji Muhammad Suffian dengan disaksikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah (Kemajuan) RTB, Cheong Chee Keong.

Objektif utama kerjasama adalah untuk mengembangmajukan idea-idea inovatif, selain menjadi platform bagi para pelajar untuk meningkatkan kreativiti mereka dalam penerbitan rancangan-rancangan televisyen, radio dan media baharu.

Para pelajar seterusnya akan berpeluang untuk didedahkan kepada kemahiran-kemahiran dan pengetahuan yang bernilai, selain dari berkongsi kepakaran dalam penyiaran radio dan televisyen khususnya dalam aspek penerbitan dan teknikal.